04 August 2020

PENDARAHAN OTAK & SERANGAN ANGIN AHMAR - NASIB SHARIFAH AMINAH DAPAT PEMBELAAN



Terlantar akibat pendarahan otak dan serangan angin ahmar, nampaknya penderitaan seniwati Sharifah Aminah Syed Abdullah, 75, mendapat pembelaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Program Ziarah Kasih FINAS Prihatin.



Kesulitan dihadapi Sharifah Aminah yang kini dalam keadaan separa sedar mendapat perhatian Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) FINAS dan tiga badan lain, Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) serta Cdert Ohhsem Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Minggu lalu, penaung Puspanita cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datin Norlin Shamsul Bahri meluangkan masa hampir satu jam menziarahi dan bertanyakan khabar mengenai keadaan terkini seniwati yang dijaga anak sulungnya, Wan Monaliza Jamali, 52.

Aktres popular era 1980-an itu mengalami pendarahan otak dan serangan angin ahmar selepas rebah di sebuah restoran ketika menikmati makan malam bersama beberapa teman rapat pada September 2018. Bintang filem 'Mama Oh Mama' dan 'Esok Untuk Siapa' itu pernah terlantar selama empat bulan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Klik untuk gambar besar

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS, Datuk Seri Eizlan Yusof yang turut serta pada kunjungan itu berkata, program itu bertujuan menghargai pengorbanan dan jasa yang pernah dicurahkan warga industri kreatif.

Katanya, program Ziarah Kasih FINAS Prihatin itu adalah inisiatif yang dicetuskan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan warga seni.

"Penderitaan Sharifah Aminah mendapat perhatian atas pengorbanan yang pernah dicurahkan sebagai pelakon dan penerbit. Inisiatif program ini lambang penghargaan kami kepada warga seni tidak mengira pelakon, penyanyi dan pekerja balik tabir.

"Kami memahami kepayahan dihadapi anak Sharifah Aminah dalam menanggung keperluan dan penjagaan ibunya dalam keadaan tidak bekerja. Bagaimanapun, setiap keluhan yang disampaikan, FINAS akan meneliti dan mempertimbang langkah yang boleh diambil bagi meringankan bebanan setiap warga seni yang diziarahi," ujarnya.


Selain sumbangan, FINAS bekerjasama dengan rakan strateginya iaitu GISBH, MAPIM dan APM supaya penderitaan pelakon dan penerbit itu dapat diberikan perhatian sewajarnya. Eizlan berkata, terima kasih kepada tiga badan berkenaan kerana sudi bersama FINAS dan Puspanita turun padang bagi membantu warga seni kreatif.

"Keadaan Sharifah Aminah tidak begitu baik, jadi wanita sahaja berkesempatan masuk bertemunya dalam rumah. Pada masa sama, kami juga sentiasa memastikan penjarakan fizikal memandangkan keadaannya uzur.

"Namun, Norlin sudah menyampaikan hajat anaknya. Insya-Allah, saya akan membawa perkara ini ke mesyuarat bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terbabit dalam kunjungan untuk mengenal pasti bentuk bantuan yang akan dihulurkan bagi membantu Sharifah Aminah," katanya.

Eizlan berkata, selain Sharifah Aminah, program Ziarah Kasih FINAS Prihatin turut mengunjungi pelakon, Margaret Gan dan Supama@Loganaidu Perumal pada Khamis lalu.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: