15 August 2020

SEKALI LAGI BERITA PALSU MENINGGAL DUNIA - AR BADUL TERGURIS, BUAT LAPORAN POLIS



"Kali pertama pada Februari tahun lalu ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). Ketika itu, saya tak ambil peduli sangat kerana anggap pihak yang menyebarkan berita palsu itu tak sengaja dan tersilap maklumat. Tetapi, apabila dah kena kali kedua ini saya fikir harus ambil tindakan tegas.

"Memanglah, kita semua akan mati dan saya bersyukur sekarang masih sihat lagi. Namun, perkara membabitkan kematian ini sangat sensitif dan tak boleh sengaja disebarkan. Ini kerana individu yang didakwa sudah meninggal dunia tentunya ada keluarga, saudara-mara, kenalan dan rakan-rakan.

"Untuk berita ini pun (didakwa meninggal dunia), awal pagi lagi saya dan isteri sudah dihubungi ramai ahli keluarga kami termasuk pihak Seniman (Persatuan Seniman Malaysia) dan FDAM (Persatuan Pengarah Filem Malaysia) bertanyakan kesahihan berita itu," tutur pelakon, pengarah dan pelawak veteran, AR Badul, 71, yang terguris dan kecewa apabila sekali lagi tersebar berita palsu di Facebook dimana dia dilaporkan meninggal dunia, hari ini.

Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie ketika dihubungi berkata, berita palsu mendakwa dia sudah menghembuskan nafas terakhir itu adalah kali yang kedua. Menurut Badul, adik-beradik, saudara mara, kenalan, rakan serta peminatnya ramai yang sedih dan menangis berikutan penyebaran berita palsu di media sosial itu.

"Saya akan ambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis esok. Hari ini, saya beri peluang kepada pihak terbabit untuk tampilkan diri menghubungi saya sekeluarga meminta maaf. Saya sangat kesal, kecewa dan terguris dengan penyebaran berita palsu membabitkan kematian seperti ini. Ia sangat sensitif dan tolonglah hormati perasaan orang lain terutama keluarga saya.

"Perkara membabitkan kematian ini tak boleh dibuat main atau suka-suka nak disebarkan. Ini kerana jika betullah perkara itu berlaku suatu hari nanti (meninggal dunia) pasti sukar untuk dipercayai lagi," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: