13 August 2020

TIADA LAGI BILIK KECIL SEMPIT - ALINA HASSAN TERIMA RUMAH DBKL



Nampaknya penyanyi Alina Hassan, 52, tidak perlu lagi menghuni bilik kecil yang sempit apabila permohonannya untuk menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akhirnya mendapat perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Alina yang menrupakan juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 itu ketika dihubungi berkata, dia dihubungi pihak DBKL memaklumkan permohonannya itu diluluskan, baru-baru ini.

"Pada mulanya saya dapat panggilan daripada mereka tapi tak sempat nak jawab. Saya kemudiannya menghubungi mereka semula tapi panggilan tak dijawab pula. Akhirnya saya buat keputusan terus pergi ke ibu pejabat DBKL. Dalam perjalanan, penyanyi Safura menghubungi saya dan meminta saya terus naik ke tingkat 34. Saya ikut kata-katanya kerana terlalu gembira," katanya.

Penyanyi lagu 'Dingin dan Gelombang' ini seterusnya diberikan surat tawaran untuk menyewa rumah PPR DBKL Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur dengan kadar sewa RM124 sebulan: "Saya diminta mengisi borang dan butiran yang diperlukan. Perasaan bercampur baur gembira dan sebak kerana impian untuk tinggal di rumah sewa menjadi kenyataan.

"Sudah tentu saya dapat meluangkan masa bersama anak-anak di sini. Paling utama, saya dapat ambil anak kedua, Mohd Alif yang menghidap autisme untuk tinggal bersama," katanya yang akan berpindah ke situ, Sabtu ini.

Kisah Alina menjadi tular kerana menyewa bilik kecil di sebuah rumah kedai sejak dua tahun lalu. Dia juga tidak mempunyai pekerjaan tetap selain menyanyi kecuali pendapatan sambilan sebagai pencuci rumah. Pendedahan itu turut mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Baitumal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) yang mahu menghulurkan bantuan.

Alina sebenarnya sudah lama memohon rumah DBKL tetapi perlu menunggu giliran untuk mendapatkannya. Dalam pada itu, Alina akan terbabit menjayakan Program Makan Malam Bersama Wanita Ampang Di Ambang Kemerdekaan 2020 pada 22 Ogos ini.

Persembahan anjuran Wanita Ampang Prihatin dengan kerjasama Konsortium Irama yang akan berlangsung pada jam 7.30 malam di Hotel De Palma, Ampang mengenakan harga tiket RM60. Alina juga bakal merakamkan single terbaru terbitan Loonaq Records/ Padi Records dalam masa terdekat ini.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: