05 October 2020

ALIFF AZIZ MAHU MULAKAN HIDUP BARU: "BANYAK PERKARA PERLU SAYA BETULKAN"



Menerusi satu entri yang dimuat naik di laman Instagram, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz telah berkongsi video anak sulungnya, Mohamad Ayden Adrean, 3, yang kelihatan sangat merindui bapanya itu. Perkongsian tersebut telah mengundang perhatian ramai.

Dalam video yang dikongsi di Instagram itu, Ayden mengatakan dia mahu ke Singapura untuk bertemu Aliff: "Ayden mahu Daddy, Ayden nak pergi Singapura, Ayden nak tidur dengan Daddy," katanya dalam video tersebut.

Perkara itu telah membuatkan Aliff berasa sebak dan mengakui dia harus memperbaiki pelbagai perkara dalam kehidupannya: "Isteri saya hantar video ini, sangat sedih memikirkan masa yang memisahkan kami dan memberi kesan kepada anak pada usia kecil mereka.

Klik untuk gambar besar


"Ia mengajar saya untuk memperbetulkan kehidupan, banyak perkara saya perlu perbaiki agar kesalahan saya tidak memberi kesan kepada isteri dan anak. Saya tak malu mengakui banyak kesilapan yang telah dilakukan, tapi begitulah setiap kejadian manusia biasa," tulisnya sebagai kapsyen.

Dalam pada itu, Aliff juga memohon maaf kepada anak-anaknya kerana gagal menjadi seorang bapa yang baik: "Kesalahan saya mengajar, ia telah memberi kesan kepada keluarga dan insan-insan tersayang.

"Daddy minta maaf sebab gagal jadi bapa yang baik, tetapi Daddy dah berada di landasan yang sepatutnya sekarang. Ayden dan adik telah membawa Daddy ke landasan baharu, tak sabar mahu jumpa kamu, Ara dan Mummy bila semua ini berakhir," tulisnya lagi.


Terdahulu, Aliff telah dijatuhkan hukuman penjara selama dua minggu pada pertengahan September 2020 selepas didapati bersalah mencuri dan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

Menerusi laporan Gempak pada 28 September, Aliff telah selesai menjalani hukuman tersebut dan isterinya, pelakon Bella Astillah bersyukur kerana ramai pihak yang mendoakan kebaikan untuk suaminya itu.

Untuk makluman, Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 sebelum bercerai pada 16 Mei 2019. Namun begitu, pasangan ini telah rujuk kembali dan dikurniakan anak kedua, Ara Adreanna yang kini berusia tiga bulan.






www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Aliff Aziz

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: