13 October 2020

EBBY YUS AKUI KENAL WANITA SINGAPURA YANG MEMBANTUNYA, NAFI DIA SEORANG MISTERI



Pelakon komedi popular, Ebby Yus, 56, yang sebelum ini mendedahkan dia ada menerima bantuan wang tunai bernilai RM30,491.93 daripada peminat wanita dari Singapura itu menafikan individu terbabit seorang wanita 'misteri'.

Ebby berkata, dia terkejut membaca laporan berita daripada beberapa portal hiburan tempatan yang memaklumkan status wanita itu 'misteri'.

"Semestinya saya sudi terima bantuan kewangan diberikan sesudah kenal dengan wanita itu. Takkanlah saya main terima saja bantuan tanpa kenal siapa penyumbangnya.

"Cuma, cukuplah dimaklumkan juga dia bersama ibu bapanya adalah peminat saya. Kemunculan dia pun dianggap hanya untuk membantu saya yang sakit ini ketika dalam kesusahan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu," katanya yang cukup bersyukur dengan bantuan kewangan itu.

Baru- baru ini, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid mendedahkan dia menerima bantuan wang tunai sebanyak RM30,491.93 yang dimasukkan ke dalam akaunnya daripada seorang peminat wanita dari Singapura.

Klik untuk gambar besar



Ditanya sama ada wanita itu berkemungkinan menjadi jodohnya, Ebby berkata, wanita terbabit sudah mempunyai anak dan keluarga sendiri.

"Pada netizen yang mendoakan jodoh saya selepas pendedahan itu, terima kasih. Bagi saya, hubungan kami hanyalah sebagai artis dan peminat saja. Tidak lebih dari itu atau ada perasaan lain. Dia wanita yang sudah berkeluarga dan saya sangat menghormatinya. Kami pun tidak kerap berhubung di telefon selepas dia menghulurkan bantuan.

"Saya bercerita mengenainya pun sekadar mahu ucap terima kasih. Saya sendiri tak sangka mempunyai peminat yang baik, sudi membantu dan prihatin sebegitu," tuturnya.

Bercerita mengenai kerjaya seninya, Ebby berkata, dia kini terbabit dengan penggambaran sitkom 'Panggung Pok Ya' sebanyak lapan episod bersama pelakon dan pengarah terkenal, Sabri Yunus.

Selain itu, setiap Khamis dan Jumaat pula dia akan menjadi penyampai radio undangan di stesen radio Negeri fm yang memerlukan dia berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Seremban, dua kali seminggu.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: