13 October 2020

GARA-GARA DISIASAT - BUBBLEBEE TAMATKAN USAHASAMA?



Usahasama antara rakan niaga akan diambilalih semula oleh syarikat produk air boba berasaskan madu lebah, Bubblebee Sdn Bhd menerusi satu kenyataan media semalam.

Bukan itu sahaja, malah mereka turut menamatkan usahasama dengan kesemua rakan usahasama yang menguruskan empat cawangannya tersebut iaitu Bubblebee Ampang, Bubblebee Senawang, Bubblebee Sentul dan Bubblebee Sungai Buloh.

Penamatan usahasama ini berkuatkuasa serta-merta dan kempat-empat cawangan tersebut juga akan ditutup untuk sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee.

Untuk info, baru-baru ini, pelawak dan ahli perniagaan, Shuib telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes penggubahan wang haram.

Berikut merupakan kenyataan media berhubung perkara berkenaan;

BUBBLEBEE AMBIL ALIH OPERASI CAWANGAN USAHASAMA, TEKAD BANGUNKAN JENAMA

1. Bubblebee Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang menghasilkan dan memasarkan produk air boba berasaskan madu lebah.

2. Ditubuhkan pada hujung tahun 2019, kami menghimpunkan beberapa usahawan yang pakar dalam bidang masing-masing terutamanya dalam industri minuman, penghasilan madu lebah, dan pemasaran. Ini termasuklah pasangan selebriti tanahair, Shuib Sepahtu dan Siti Sarah. Melalui daya kreatif dan kepakaran pemasaran mereka, Bubblebee kini bukan sahaja minuman, malah jenama perniagaan yang dikenali ramai yang menjadi igauan pengusaha untuk menjadi rakan kongsi atau francais.

Klik untuk gambar besar



3. Kami begitu terharu dengan sokongan rakyat Malaysia terhadap jenama minuman kami. Justeru kami berusaha meluaskan operasi agar lebih ramai yang berpeluang menikmati Bubblebee di samping membuka ruang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

4. Sehingga hari ini, kami mempunyai 17 cawangan di seluruh negara. 11 cawangan merupakan milik penuh Bubblebee manakala enam cawangan lagi dibuka secara usahasama.

5. Kami sedar, belakangan ini tular berita mengenai rakan usahasama kami yang disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan kegiatan yang telah menjejaskan reputasi Bubblebee. Hal ini turut menyebabkan salah seorang ahli lembaga pengarah kami telah dipanggil bagi membantu siasatan.

6. Walaupun kami sendiri tidak pasti tentang kebersalahan rakan usahasama cawangan kami ini kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tetapi yang jelas, siasatan ke atas rakan usahasama ini telah mendatangkan kesan negatif yang mampu menjejaskan reputasi perniagaan kami dengan teruk sekali.

7. Sehubungan dengan itu, kami mengambil keputusan untuk menamatkan usahasama dengan kesemua rakan usahasama yang menguruskan empat cawangan berikut: Bubblebee Ampang, Bubblebee Senawang, Bubblebee Sentul, dan Bubblebee Sungai Buloh.


8. Penamatan ini berkuatkuasa serta-merta.

9. Keempat-empat cawangan di atas juga akan ditutup untuk sementara waktu bagi melancarkan urusan pengambilalihan operasi oleh ibu pejabat Bubblebee.

10. Pembukaan semula keempat-empat cawangan ini akan diumumkan di platform komunikasi rasmi kami selepas proses pengambilalihan selesai.

11. Kami mengucapkan terima kasih dan selamat berjaya kepada semua rakan usahasama yang telah menyokong jenama minuman kami selama ini. Kami juga sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam semua urusan.

12. Sebagai sebuah syarikat, kami komited untuk terus membangunkan jenama minuman ini di peringkat tempatan dan antarabangsa. Sesungguhnya, sokongan semua pihak tidak akan kami persia. Semanis Bubblebee, manis lagi kegembiraan pada senyuman para pelanggan kami. In shaa Allah.

Sweet as your smile,
Dato’ Ismail bin Abdul Rahman
Ketua Pegawai Eksekutif Bubblebee Sdn Bhd


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Sandra Dianne

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: