23 October 2020

ISU DIKAITKAN AKTIVITI PELACURAN KELAS ATASAN & MACAU SCAM - CHACHA BUAT LAPORAN POLIS



Sebelum ini netizen mendakwa dan mengaitkan pelakon Chacha Maembong terbabit dalam sindiket pelacuran kelas atasan yang dibayar antara RM20,000 sehingga RM40,000 untuk satu malam.

Selepas mendapati wujud pihak tidak bertanggungjawab yang cuba membuat spekulasi mendakwa dirinya terlibat dengan isu skandal seks yang mempunyai kaitan dengan kegiatan Macau Scam, Chacha telah membuat laporan polis di Balai Polis Seremban, Negeri Sembilan.

Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail, 24, berkata laporan yang dibuat baru-baru ini itu adalah atas nasihat peguam. Jelas Chacha lagi, tujuan dia mengambil tindakan tersebut juga untuk menghentikan penyebaran segala fitnah yang menjejaskan reputasinya sebagai selebriti.

Menurut adik kepada pelakon Emma Maembong itu, dia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan atas kes tersebut.

Klik untuk gambar besar



"Tujuan laporan ini adalah bertujuan untuk memberhentikan dan menafikan segala fitnah yang berleluasa tentang saya berkenaan isu Macau Scam dan juga tuduhan aktiviti pelacuran.

"Saya juga akan bekerjasama dengan pihak SPRM dan pihak Polis jika dipanggil untuk memberikan kerjasama. Saya juga akan mengambil tindakan kepada individu yang telah memfitnah dan menyebarkan tuduhan tersebut," kata Chacha.

Chacha turut memuat naik video yang paparan skrin laporan polis yang dibuatnya. Chacha menerusi laporan itu mendakwa seorang individu meninggalkan komen berbaur fitnah yang mengaitkan dirinya dengan isu penggubah wang haram dan aktiviti pelacuran kelas atasan.



Chacha dalam kenyataannya sebelum ini telah menafikan dakwaan bahawa dia memperolehi dana untuk perniagaannya dari individu berstatus 'Datuk' yang sedang disiasat SPRM.

Chacha turut berkata dia menerima kecaman akibat daripada fitnah dan kenyataan palsu yang dibuat beberapa individu sehingga menjejaskan reputasinya.

Dalam pada itu, pelakon filem 'Anak Perjanjian Syaitan' ini memberitahu dia tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai isu tersebut sehingga siasatan polis terhadap kes itu selesai.

"Tindakan susulan dari pihak guaman akan dijalankan, laporan kes ini kini dalam siasatan, saya tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga siasatan dari pihak polis selesai. Sekian terima kasih," ujarnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila Chacha didakwa mengusahakan perniagaan menggunakan dana daripada sumber yang mempunyai kaitan dengan aktiviti Macau Scam. Malah, Chacha juga tidak terlepas dituduh terpalit dengan aktiviti tidak bermoral sehingga mampu meraih pendapatan lumayan.

Untuk rekod, SPRM sebelum ini mendedahkan terdapat kegiatan aktiviti pelacuran kelas atasan melibatkan golongan artis yang mampu meraih sehingga RM40,000 semalam.




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Harian Metro & Instagram Chacha Maembong

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: