20 November 2020

MAHKAMAH BENARKAN KAHWIN GUNA WALI HAKIM - BALKISYH LEGA & BERSYUKUR



Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membenarkan perkahwinan dengan seorang duda berusia 34 tahun dibuat secara wali hakim pada 27 November ini, pelakon Balkisyh Semundur Khan, 34, meluahkan rasa lega dan bersyukur.

Balkisyh yang popular menerusi drama 'Mak Cun' itu berkata, keputusan itu dibuat selepas hakim berpuas hati dengan segala keterangan dan bukti yang diberikan selepas gagal menemukan bapa kandungnya, Semundur Khan Gulam Khan sejak lebih setahun lalu.

"Alhamdulillah, selepas lebih setahun saya berurusan mengenai wali, kini semuanya sudah selesai. Hakim berpuas hati dengan usaha yang saya buat selama ini. Terima kasih Harian Metro dan semua yang mendoakan saya.

"Hakim menetapkan 27 November ini untuk saya bernikah. Saya okay saja, lagipun kami memang tidak menetapkan sebarang tarikh. Cuma, sebelah pihak lelaki kalau dapat buat awal lagi bagus.

Klik untuk gambar besar



"Isnin depan baru saya hantar semula borang ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Selepas itu kena tengok pula kekosongan kuota masjid di sekitar Kuala Lumpur.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), satu masjid hanya membenarkan tiga pasangan saja. Kalau ada kosong, saya akan teruskan. Jika tiada kita akan tunda sehingga ada kekosongan," katanya.

Balkisyh yang baru muncul menerusi drama 'Bicara Cinta' di TV3 itu berkata, proses yang dilalui itu diharap memberi pengajaran kepada semua.

"Kalau nak cakap perasaan, dari awal berusaha lagi memang takut dan risau. Bukan sebab tak boleh kahwin, tapi persoalan orang lebih kepada kenapa nikah cara wali hakim. Itu lebih mengganggu.



"Tapi, saya jalani dan dalam masa sama sebagai pengajaran buat orang lain juga. Jangan anggap undang-undang di negara kita dibuat saja-saja dan susahkan orang. Apabila sudah buat dan lalui sendiri, baru kita tahu," tuturnya.

Ditanya mengenai maklumat yang mendakwa bapanya menjadi gelandangan di Tawau, Sabah, Balkisyh berkata, dia masih belum mendapat maklumat yang tepat.

"Sehingga sekarang memang tidak dapat maklumat tepat lagi. Kalau ikutkan saudara-mara sebelah bapa, kebanyakannya memaklumkan kali terakhir berjumpa dia adalah kira-kira setahun dan tiga tahun lalu.



"Dakwaan bapa saya menjadi gelandangan juga tak betul kerana adiknya ada pergi berjumpa dengan lelaki dimaksudkan dan ia bukan bapa saya," ujarnya.

Sekitar Oktober lalu, media melaporkan pelakon itu memohon jasa baik Jawi dalam memudahkan proses perkahwinannya yang sudah tertunda hampir setahun selepas dia gagal mencari bapa kandungnya.

Balkisyh berkata, pihak terbabit meminta dia mengikut prosedur ditetapkan iaitu tampil dengan wali iaitu bapa kandungnya, Semundur Khan Gulam Khan.

Dalam beberapa siri laporan, Balkisyh juga memaklumkan mendapat pelbagai maklumat daripada orang ramai di Tawau, Sabah yang mendakwa pernah melihat bapanya di sekitar bandar itu.





www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Balkisyh Semundur Khan

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: