01 November 2020

PELAKON 'JAMES BOND', SEAN CONNERY MENINGGAL DUNIA DI USIA 90



Baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-90 pada Ogos lalu, pelakon terkemuka dunia, Sir Sean Connery yang popular menerusi filem 'James Bond', dilaporkan telah meninggal dunia semalam.

Menurut laporan BBC, berita pilu itu disahkan sendiri oleh ahli keluarganya. Keluarganya dalam satu kenyataan berkata, pelakon Scotland itu meninggal dunia ketika dalam tidur di Bahamas. Difahamkan, beliau sudah tidak sihat sejak sekian lama.

Salah seorang anak lelakinya, Jason Connery mengatakan kepergiaan ayahnya dikelilingi oleh banyak ahli keluarga mereka. Pelakon itu meninggalkan isterinya, Micheline dan dua anak lelakinya, Jason dan Stefan.

"Ini adalah hari yang menyedihkan buat kami dan seluruh orang yang mengenalinya. Ini adalah kehilangan yang menyedihkan buat semua yang pernah menikmati 'hadiah' yang diberikan aktor ini," katanya.

Klik untuk gambar besar



Connery yang mula berlakon pada 1954 adalah pelakon pertama yang membawa watak ejen perisik British, 'James Bond' bermula dengan Dr No pada 1962 dan memegang nombor 007 sepanjang tujuh siri sekuel filem itu dihasilkan.

Beliau terbabit dalam tujuh siri 'James Bond' dan kali terakhir beliau membawa watak perisik British popular itu ialah menerusi 'Diamonds Are Forever' pada 1971. Watak 'James Bond' seterusnya diambil alih Roger Moore dalam Live And Let Die pada 1973.

Sepanjang kerjaya lakonannya, pelakon berdarah Scottish itu sebelum ini pernah merangkul pelbagai anugerah berprestij antaranya Anugerah Oscar pada tahun 1988, dua Anugerah Bafta dan tiga Golden Globes sekali gus menjadikan beliau antara pelakon paling berjaya pernah tercatat dalam industri perfileman dunia.



Connery yang bermula kariernya lebih berdekad lalu itu memenangi Academy Awards atau Oscar sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi watak sebagai polis Ireland dalam filem 'The Untouchables'.

Selain itu, Connery turut membintangi filem 'The Rock', 'Indiana Jones' and the 'Last Crusade', 'The Hunt for Red October' dan 'The League of Extraordinary Gentlemen'.

Untuk rekod, Connery merupakan antara pelakon antarabangsa yang amat disegani ramai, maka tidak hairanlah beliau dianugerahkan gelaran 'Sir' oleh Ratu England pada 2000.




www.myartis.com / Sumber: BBC, Berita Harian, Harian Metro, Beautifulnara & Astro Gempak

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: