17 November 2020

SEMAKIN PULIH DARI MELECUR - ALI XPDC AKUI TRAUMA, KINI LEBIH BERHATI-HATI



Selepas kejadian disambar api ketika membakar sampah di belakang rumahnya sekitar Mac lalu, penyanyi kumpulan XPDC iaitu Ali mengakui berdepan trauma. Ini kerana kata Ali, 52, dia akan berdebar-debar apabila terlihat api terutamanya di tempat terbuka seperti halaman rumahnya sendiri. Ali berkata sejak kejadian itu, dia kini lebih berhati-hati.

"Ini semua ketentuan Allah. Tiada siapa nak kemalangan berlaku pada diri kita dan semuanya sudah tertulis. Ia sebahagian daripada kafarah kepada saya untuk saya reda. Jadi, saya sentiasa bersangka baik.

"Alhamdulillah saya sudah semakin pulih dan kini saya menjalani rawatan susulan tidak sekerap dahulu. Cuma, kemalangan itu meninggalkan kesan pada muka dan tangan saya.

"Perasaan trauma itu ada kadang-kadang apabila saya tengok api. Ada rasa berdebar-debar sikit terutama apabila nak bakar sampah. Saya akan periksa terlebih dahulu keadaan sekeliling saya takut-takut ada minyak atau api," kata Ali ketika ditemui selepas konsert minggu keenam Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7).

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Ali turut berterima kasih kepada peminatnya yang tidak putus-putus memanjangkan doa agar dia disembuhkan selepas kemalangan terbabit.

Mengimbas semula, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail melecur 30 peratus anggota badannya apabila disambar api ketika sedang membakar sampah di belakang rumahnya di Klang, Selangor.

Api yang marak ketika itu telah menyambar bahagian muka dan tangannya apabila dia menggunakan petrol. Susulan daripada kejadian itu juga, Ali susut berat badan sebanyak lebih 20 kilogram.





www.myartis.com / Sumber & foto: Astro Gempak & Instagram Ali XPDC

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: