02 December 2020

BELUM DEDAH WAJAH ANAK - FATTAH NAFI TERIKAT DENGAN PENJANJIAN EKSKLUSIF



"Kami memang merancang berkongsi wajah anak, tetapi tidak tahu bila... Insya-Allah tidak lama lagi. Merahsiakan wajah anak adalah keputusan saya, Fazura dan keluarga. Kami sengaja berbuat demikian. Keputusan ini bukan disebabkan ada pihak tertentu atau stesen televisyen (TV) yang mahu paparan eksklusif.

"Tiada lagi produksi atau mana-mana syarikat mahu memaparkan wajah anak saya secara eksklusif," kata pelakon Fattah Amin yang memberitahu yang dia dan isteri, pelakon Nur Fazura sedia mendedahkan wajah puteri tersayang mereka, Nur Fatima Aisya apabila sampai waktunya.

Menafikan terikat dengan perjanjian eksklusif dengan mana-mana pihak, Fattah menjelaskan, keputusan enggan berkongsi wajah Nur Fatima kepada khalayak dibuat atas persetujuan mereka berdua.

Tambah Fattah, pandemik COVID-19 yang menghalang penganjuran kenduri sempena majlis aqiqah dan cukur jambul juga menjadi faktor melengahkan mereka berkongsi wajah Nur Fatima.

Klik untuk gambar besar



"Baru-baru ini, kami anjurkan acara cukur jambul tapi secara kecil-kecilan di rumah. Memang kami merancang mengadakan majlis kenduri, tetapi keadaan tidak mengizinkan.

"Mungkin kalau boleh buat kenduri, kami sudah tunjukkan wajah anak kami. Jadi, dengan keadaan sekarang, kami tunda cadangan mendedahkan wajah Nur Fatima," jelasnya.

Berkongsi detik manis menyambut kelahiran Nur Fatima, Fattah mengaku menangis sebaik puterinya itu selamat dilahirkan: "Saya berada dalam dewan bersalin bersama Fazura. Apabila mendengar sahaja tangisan anak, air mata terus mengalir.

"Detik itu sangat istimewa bagi saya. Ini adalah rezeki Allah yang sangat tidak disangka. Ketika melaungkan azan untuknya, saya sayu. Disebabkan itu, saya hasilkan lagu 'Kiriman Agung' yang berkisar harapan dan doa bapa sebelum dikurniakan zuriat," katanya yang melancarkan single berkenaan pada 11 September lalu.



Fattah mengaku seronok menjalankan tanggungjawab sebagai bapa: "Bagi saya, ini adalah pengalaman yang kita tidak akan merasa lagi selepas anak membesar.

"Sebenarnya, sekarang kita hanya perlu berseronok dan menghargai semua ini. Anak kita tidak selama-lamanya kecil. Nanti, apabila sudah besar, kita pasti merindui momen itu," katanya.

Fattah berkata, Nur Fatima tidak akan memiliki akaun Instagram (IG), sebaliknya, semua foto dikongsi dalam IG mereka, Fattzuralovelife.

Fattah dan Fazura yang bertemu ketika membintangi drama 'Hero Seorang Cinderella' itu telah dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima pada 2 Oktober lalu. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.










www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Instagram Fattah Amin & Nur Fazura

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: