03 December 2020

"SAKIT PENING MEMANG KAMI SALING MENJAGA..." - SAZALI P RAMLEE KECEWA ISU ROYALTI



Anak lelaki Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali, 62, berada dalam keadaan kurang sihat dan kini bertongkat serta berkerusi roda selepas mengalami kecederaan di kaki kanan akibat kemalangan pada Disember tahun lalu.

Sazali ketika ditemui berkata, dia yang kini dikategori sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) itu tidak boleh bekerja dan menampung kehidupan dengan bantuan bulanan daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350.

"Setiap bulan, perbelanjaan saya dan isteri hanya RM750 bergantung sepenuhnya daripada bantuan diberikan PZS dan JKM. Kalau ikutkan, ia tidaklah mencukupi.

"Dalam keadaan sekarang, harga barangan keperluan dapur pun tinggi, ditambah bayaran elektrik dan air, apa yang diharapkan semoga dapatlah jumlah bantuan itu dinaikkan pihak terbabit," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Klik untuk gambar besar



Menurutnya, dia juga memerlukan wang untuk kegunaan pengangkutan ke hospital di Cheras untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan mengikut temujanji ditetapkan doktor.

Katanya, dia dan isteri, Hamidah Hitam, 58, masing-masing ada penyakit. Pasangan itu juga tidak mempunyai anak sejak mendirikan rumah tangga 32 tahun lalu.

"Selain masalah kaki yang masih belum pulih akibat kemalangan, saya juga ada menghidap asma dan darah tinggi. Isteri pula mengalami masalah tulang belakang dan pernah menjalani pembedahan pada 2018.



"Sekarang, sakit pening memang kami saling menjaga di antara satu sama lain. Alhamdulillah, saya pun tinggal di rumah pusaka milik arwah mentua. Jadi ada jugalah saudara-mara sebelah isteri membantu kerana tinggal berjiran. Tapi, tak boleh juga selalu nak harapkan orang," tuturnya.

Sazali berkata, dia mengharapkan selagi nyawa dikandung badan, nasibnya sebagai waris P Ramlee akan terbela. Katanya, masalah kesihatan dialami tidak membolehkan dia bekerja lagi.

Sebelum ini, Sazali pernah bekerja dengan Alam Flora tetapi sudah berhenti kira-kira 13 tahun lalu apabila syarikat terbabit berpindah operasi ke Putrajaya dan Sazali pula tidak boleh memandu.



Terdahulu, Sazali dikunjungi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid di kediamannya menerusi Program Ziarah Finas Prihatin 2.0 anjuran badan kerajaan itu melalui Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri.

Zakaria berkata, usaha ziarah itu bagi menghulurkan sedikit sumbangan kepada selebriti veteran dan waris penggiat seni tanah air berikutan penularan pandemik Covid-19 ketika ini yang ramai orang terjejas pendapatan.

Pada kunjungan itu, Zakaria menyerahkan bantuan kewangan, barangan keperluan dapur dan kerusi roda untuk kegunaan pergerakan Sazali yang selama ini berjalan menggunakan tongkat.

Sazali terharu dengan sikap prihatin yang ditunjukkan: "Terima kasih kepada FINAS dan semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan dan bertanya khabar. Tak dinafikan, wabak COVID-19 ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan kami. Dengan bantuan yang dihulurkan dapat juga meringankan beban yang ditanggung," ujarnya.



Sementara itu, Sazali meluahkan rasa kecewa apabila jumlah royalti yang diterima, merosot sebanyak 90 peratus, baru-baru ini. Mengakui terkejut dengan jumlah yang diterimanya, Sazali tidak menolak kemelut yang melanda badan kutipan royalti memberi tempias kepada pengurangan jumlah kutipan ketika ini.

Sazali berkata, luahan itu bukanlah bermakna dirinya tidak bersyukur, sebaliknya sekadar mempertahankan haknya: "Jumlah kutipan yang diterima memang banyak, namun pembayaran diterima bulan lalu cukup mengejutkan kerana jumlah berkurangan sebanyak 90 peratus.

"Sudah tentu, saya kecewa dengan apa yang berlaku kerana walaupun cuma dapat setahun sekali, tetapi duit royalti ini juga dapat menampung kehidupan saya dan isteri. Saya harap kemelut yang melanda badan kutipan royalti dapat diselesaikan segera supaya hak penggiat seni dapat dibela.

"Apapun, saya bersyukur dengan bayaran yang diberikan. Cuma, sebagai pewaris sudah tentu saya nak tahu apa yang membuatkan jumlah kutipan merosot tahun ini," katanya.





www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: