14 January 2021

IBU BAPA MINTA USOP BALIK KAMPUNG, BIMBANG BUAT PERKARA TAK ELOK



"Baru nak mulakan kehidupan baru di KL... dah kena balik Kulim semula sebabkan PKP. Ibu bapa saya suruh balik sebab risau kalau saya seorang dekat KL. Sebelum ini, saya duduk rumah sepupu atau ulang alik Kedah ke KL.

"Tapi tahun ini saya nekad untuk duduk di rumah sewa bersama pengurus dan rakan. Pertama kali saya duduk berjauhan dengan keluarga. Mula-mula itu, ibu bapa saya memang berat hati nak biarkan saya tinggal di KL.

"Mereka risau kalau saya buat perkara tak elok tapi saya ini bukan orang yang buat benda merapu. Kalau habis kerja, balik rumah terus. Bila dah duduk sendiri, baru ada tanggungjawab... kena berjimat cermat," tutur penyanyi Usop.

Berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyanyi kelahiran program realiti Mentor itu yang tak sampai dua minggu menjalani kehidupan baharu di Kuala Lumpur, terpaksa pulang semula ke kampungnya di Kulim Kedah.

Klik untuk gambar besar



Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor berkata dia diminta pulang ke kampung disebabkan ibu bapanya bimbang sekiranya anak kesayangan mereka tinggal berseorangan di ibu kota.

Sebelum ini, naib juara program Big Stage 2020 itu kerap berulang alik dari Kedah ke KL sekiranya mempunyai kerja atau tugasan. Dalam pada itu, penyanyi berusia 24 tahun ini memberitahu dia terpaksa bergegas pulang ke Kedah sebaik sahaja selesai menjalani rakaman sebuah program pada malam, Selasa.

Menurut Usop, dia sepatutnya perlu menjalani penggambaran sebuah drama selama sebulan di Kuala Lumpur namun ditunda disebabkan PKP. Biarpun berasa sedih tidak dapat meneruskan penggambaran buat masa kini, namun Usop meluahkan rasa teruja apabila lagu terbaharunya berjudul 'Lenyap' bakal dilancarkan dalam masa terdekat.



"Malam Selasa, saya bergegas pulang ke Kulim selepas selesai rakaman sebuah program sebab bimbang terlambat dah nak mula PKP. Ikutkan jadual saya sepatutnya sebulan ini sibuk dengan penggambaran drama.

"Tapi disebabkan PKP, terpaksa penggambaran drama itu ditangguh sehingga PKP tamat. Kalau selepas 26 Januari PKP bertukar PKPB, boleh la buat surat untuk merentas negeri tapi kalau PKP juga, terpaksa tunggu saja la.

"Nasib baik, saya sempat selesaikan penggambaran untuk MV lagu terbaharu saya berjudul 'Lenyap' masa awal Januari lalu. Insya-Allah dalam masa terdekat, lagu terbaharu saya itu akan dilancarkan," ujarnya.



www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Usop

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: