18 January 2021

KELUAR HOSPITAL - PENGERUSI FINAS KINI KOMITED SEMULA PADA TUGAS



Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid, 56, sebelum ini dimasukkan ke Hospital Pusrawi, Khamis lalu akibat masalah jantung.

Dia yang mulanya mengalami sakit dada sejak seminggu lalu membuat keputusan berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Zakaria seterusnya menjalani pemeriksaan elektrokardiogram (ECG), ujian tekanan, imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan angiogram.

Terkini, Zakaria memberitahu yang beliau sudah dibenarkan keluar hospital. Biarpun diberi cuti sakit selama seminggu, Zakaria tetap melakukan tugasnya bagi membantu penggiat seni.

Zakaria berkata, dia akan terus bekerja memantau kerja-kerja Finas terutama dalam situasi kritikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

"Kami di Finas bimbang dengan larangan 'shooting' di kawasan PKP. Jadi, pihak pengurusan sudah diarah mencari formula bagaimana menyalurkan dana untuk penggiat industri tanpa ke lokasi seperti 'shooting' di rumah atau studio.

"Walaupun saya sepatutnya kena masuk wad lebih awal, tapi saya tangguhkan terlebih dahulu untuk mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Ahli Perbadanan pada 14 Januari lalu. Sebaik selesai mesyuarat, isteri terus bawa saya masuk wad Hospital Pusrawi.

"Syukur, saya dibenarkan keluar dari hospital petang semalam selepas doktor berpuas hati dengan tahap pemulihan saya. Bagaimanapun saya masih berada dalam pemantauan dan perlu patuh kepada nasihat doktor dalam penjagaan kesihatan ini. Selain itu, saya juga perlu jaga pemakanan terutamanya yang tinggi kolestrol dan sentiasa beriadah," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: