09 January 2021

MASIH GUNA ALAT PERNAFASAN - SUAMI BERSYUKUR SHAHRIZA MAHMUD SUDAH SEDARKAN DIRI



Suami pelakon Shahriza Mahmud, Saddiq Raffali sebelum ini menerusi laman Facebook miliknya memaklumkan keadaan kesihatan isterinya yang masih tidak berubah apabila berada dalam keadaan kritikal sejak dimasukkan ke Hospital Putrajaya, Ahad lalu akibat demam panas selain meracau.

Saddiq, 40, juga meluahkan rasa kerinduan terhadap Shahriza memandangkan pelawat masih tidak dibenarkan masuk di hospital berkenaan. Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian netizen dan rakan selebriti yang mendoakan agar aktres berusia 55 tahun itu cepat sembuh.

Terkini, nampaknya suami Shahriza boleh menarik nafas lega apabila isterinya itu sudah sedarkan diri dan juga sudah tidak demam berbanding hari sebelumnya.

Saddiq yang berkongsi situasi terkini isterinya itu turut memberitahu meskipun sudah sedarkan diri namun Shahriza masih dibawah alat bantuan pernafasan.

"Za (Shahriza) sudah mulai sedar tapi masih dibawah alat bantuan pernafasan. Alhamdulillah. Doktor sedang menjadualkan pemeriksaan ultrasound untuk melihat bahagian abdomen. Ujian swab juga disahkan negatif," katanya.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Saddiq berterima kasih dengan keprihatinan Persatuan Seniman dan Persatuan Penulis serta peminat yang bersimpati dan mendoakan kesembuhan isterinya.

"Sebagai suami saya bersyukur kerana Shahriza dikurniakan kawan-kawan yang prihatin yang sentiasa mendoakan kesihatannya. Allah sahaja yang dapat balas budi mereka.

"Saya nak minta semua terus mendoakan agar Shahriza cepat sembuh dan dapat melawan jangkitan kuman. Saya tahu dia seorang pejuang yang kuat," tuturnya.

Terdahulu, Shahriza dikejarkan ke Hospital Putrajaya selepas mengalami demam panas sehingga menyebabkan dia meracau-racau. Shahriza dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU) ke Unit Penjagaan Kritikal (CCU) kerana bimbang sekiranya dijangkiti Covid-19. Pemeriksaan doktor mendapati ada jangkitan kuman pada darah dan paru-paru dan Shahriza diberikan ubat antibiotik yang paling kuat.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: