02 January 2021

PADAM KRITIKAN PEMINAT, DRAMA MELAYU ASYIK KISAH ORANG KAYA - AERIL ZAFREL BALAS KENYATAAN



Semua mengetahui kebanyakan drama melayu yang menghiasi tayangan di stesen televisyen tempatan banyak berkisar mengenai tema cinta, fantasi serta kehidupan orang berada.

Situasi itu menyebabkan penonton mula muak hingga ruangan komen di laman Instagram pelakon Aeril Zafrel dijadikan medan untuk meluahkan perasaan.

"Kenapa padam komen saya, tak betul ke komen saya tu? Tahap cerita Melayu tak habis-habis dengan kahwin, projek juta-juta... Datuk sana, Tan Sri sini.

"Bukan suruh puaskan hati semua orang. Tapi cuba perbaiki mutu drama tempatan, barulah boleh tarik minat orang untuk menonton. Tolong beritahu dengan pengarah sana," tulis seorang netizen.

Klik untuk gambar besar



Individu berkenaan meluahkan pandangannya pada posting berkaitan drama berjudul 'Tercipta Satu Ikatan' lakonan Aeril yang sedang ditayangkan di saluran Astro Ria.

Enggan berdiam diri, suami kepada pelakon Wawa Zainal itu lantas membalas pertanyaan individu berkenaan sambil menyenaraikan lima alasan dia memadam komen tersebut.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata itu, individu itu tidak seharusnya terus menghukum sesebuah karya sebelum menonton secara keseluruhan.

"Ketidaksabaran awak mengikut alur cerita ini kerana persepsi awal telah menguasai diri. Jelas terlihat awak bukan jenis mahu menikmati storytelling orang lain yang mungkin tak sama dengan cara awak berfikir.



"Dalam hidup, kita tak boleh selalu merasa diri sentiasa benar. Kena sudi 'pinjamkan' telinga, mata dan hati untuk kisah orang lain juga supaya dapat ibrahnya (pengajaran)," katanya.

Selain tu Aeril juga menambah, setiap stesen televisyen menyediakan slot waktu berbeza untuk pelbagai genre rancangan agar dapat memberikan variasi untuk masyarakat.

"Contohnya untuk cerita tentang budaya dan kemasyarakatan sudah ada tokoh pembikinnya. Untuk kisah benar atau cerita realiti, ada National Geographic contohnya. Jadi awak boleh memilih ikut selera sendiri, bukannya miliki sifat mahu orang lain jadi atau ikut selera awak," ujar Aeril.

Selain Aeril, drama 'Tercipta Satu Ikatan' yang diarahkan Pali Yahya itu turut dibintangi Hannah Delisha dan Izzue Islam.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Aeril Zafrel

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: