05 January 2021

TAJUL DEDAH ISTERI HAMIL 6 BULAN, BAKAL TIMANG ANAK KEDUA



"Alhamdulillah... kandungan isteri saya hampir mencecah enam bulan. Perut dia pun dah semakin membesar, jadi inilah waktu yang sesuai untuk saya kongsikan berita gembira kepada semua.

"Isteri tidak mengalami alahan yang teruk tapi sama seperti kehamilan pertama, alahan yang teruk dan mengidam itu terkena pada saya. Anak kami yang pertama pula sekarang semakin manja. Kalau meragam itu... biasalah budak kecil kan.

"Insya-Allah isteri dijangka bersalin sekitar hujung April atau awal Mei," kata penyanyi Tajul Ariff yang dalam diam rupa-rupanya bakal menimang cahaya mata kedua dan isterinya iaitu Nurul Shamieza Eddie dijangka bersalin pada awal Mei depan.

Menurut Tajul atau nama sebenarnya Tajul Arif Noor Md. Shari, sudah tiba masa untuk dia berkongsi berita gembira itu memandangkan usia kandungan isterinya sudah hampir mencecah enam bulan.

Klik untuk gambar besar



Sama seperti kehamilan anak pertama iaitu Adriana Carisa, penyanyi berusia 23 tahun ini yang melalui pengalaman mengalami alahan dan mengidam.

Sebelum ini, penyanyi lagu 'Izinkan Aku' itu berkongsi foto isterinya yang memperlihatkan baby bump di laman Instastory miliknya pada Selasa.

Dalam pada itu, Tajul memberitahu dia dan isteri sudah mengetahui jantina bayi kedua namun mereka memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu sebagai kejutan.

Akui Tajul, kehamilan anak kedua memberi satu cabaran buat isterinya yang terpaksa melahirkan anak mereka nanti tanpa ditemani suami berikutan pandemik Covid-19.



"Dah lakukan pemeriksaan jantina bayi kedua kami tapi kalau boleh saya nak beri kejutan. Lelaki atau perempuan, saya tak kisah asalkan bayi kami dalam keadaan sihat.

"Kalau masa bersalin anak pertama, belum ada lagi Covid tapi kali ini memang satu cabaran untuk kami sekeluarga. Risiko juga isteri nak pergi hospital dan dia pun akan bersalin tanpa saya di sisi.

"Sekarang ini pun, kami memang lebih berhati-hati... keluar rumah kalau ada perkara penting saja. Sentiasa pakai face mask dan saya tak benarkan sesiapa pegang anak saya ketika berada di luar," ujarnya.

Tajul mendirikan rumah tangga dengan isterinya iaitu Nurul Shamieza pada tiga tahun lalu dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Adriana Carisa yang kini berusia setahun.







www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Tajul Ariff

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: