01 February 2021

MULA HIDUP BAHARU - ALIFF AZIZ ENGGAN MERATAPI, BELAJAR DARI KESILAPAN



"Secara jujurnya, saya sendiri penat membaca segala janji yang pernah dilafazkan, lebih lagi, setiap kali saya tersilap langkah. Namun, akhirnya ia berulang semula. Justeru, saya memutuskan melakukan apa yang terbaik dan membiarkan hasil sahaja yang menunjukkan perubahan diri. Saya banyak belajar daripada kesilapan sepanjang dua tahun terpalit dengan kontroversi.

"Pendekatan diambil, saya akan berfikir sejenak adakah tindakan berbaloi untuk saya dan orang sekeliling dalam apa juga yang dilakukan. Jika boleh mendatangkan mudarat dan kemusnahan pada reputasi, lebih baik, saya lupakan abaikan," luah penyanyi dan pelakon Aliff Aziz.

Pelbagai insiden hitam dilalui termasuk isu kecurangan dan perceraian meletakkan kedudukan Aliff seperti dalam bara api. Rata-rata warga netizen mengecam penyanyi yang popular menerusi lagu 'Sayang Sayang' itu tanpa belas kasihan, hanya kontroversi yang menghimpitnya.

Tetapi, ia bukan alasan untuk lelaki kelahiran Singapura itu menyerah kalah ataupun lemah dalam ujian yang diberikan. Enggan terus meratapi nasib, selain niat mahu memulakan hidup baharu, pelakon tinggi lampai itu tekad kembali bangkit demi insan tersayang.

Pelakon drama 'Meh Sandar Pada Aku' dan 'Halalkan Hati Yang Ku Curi' itu berkata, kerja kebajikan yang dilakukan membuka matanya untuk lebih menghargai kehidupan yang penuh dengan berliku itu.

Klik untuk gambar besar

"Saya menyertai pusat komuniti Islam, Jamiyah sepanjang berada di Singapura. Tugas saya menguruskan pengagihan bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan. Ia benar-benar menimbulkan keinsafan apabila melihat kesempitan hidup yang dilalui golongan berkenaan.

"Walaupun hidup susah, mereka tabah. Situasi yang dilalui menjadi cermin diri untuk menilai kembali ujian yang Allah berikan kepada saya. Jika mereka boleh meneruskan kehidupan, kenapa tidak saya?

"Situasi ini membuka mata saya untuk lebih bersyukur dan tidak patah semangat, walaupun menyedari saya takkan terlepas daripada dihakimi masyarakat. Saya kena abaikan kata negatif untuk menjadi lebih kuat. Dengan semangat baru, saya berasakan seperti mati hidup semula," katanya.

Aliff atau nama penuhnya, Muhammad Aliff Aziz berkata, dia nyata beruntung kerana masih diberi peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan. Mengakui terharu dengan kesempatan yang diberi, Aliff berjanji tidak akan sesekali mensia-siakannya.


"Saya bersyukur isteri menerima saya dengan hati terbuka. Mungkin jodoh masih panjang membuatkan kami kembali rujuk selepas lebih dua bulan berpisah.

"Saya terharu apabila rakan seperjuangan dalam industri sudi menawarkan peluang berlakon sebaik mengetahui saya sudah berada di Malaysia. Projek pertama membabitkan telefilem 'Bukan Cerita Cinta Klise' yang menyaksikan saya bergandingan dengan Syafiq Kyle dan Mimi Lana.

"Diakui agak kekok selepas dua tahun tidak berlakon, namun saya berusaha mendapatkan semula rentak. Banyak juga tawaran berlakon menyusul, tetapi akan dibincangkan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan berakhir," terangnya.

Terdahulu, Aliff terpaksa berjauhan dengan isteri dan dua permata hatinya akibat penularan pandemik COVID-19. Mereka kembali dipertemukan selepas sembilan bulan berpisah pada Disember lalu.

Sementara itu, isteri Aliff, penyanyi dan pelakon Bella Astilah, 27, menyifatkan kehadiran semula Aliff menyempurnakan lagi kehidupan mereka sekeluarga.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Aliff Aziz & Bella Astillah

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: