19 March 2021

NOOR NABILA SAH ISTERI ENGKU EMRAN - SHARNAAZ & NEELOFA UCAP TAHNIAH, DOAKAN BAHAGIA



Akhirnya segala desas-desus mengenai hubungan kakak kepada selebriti Noor Neelofa iaitu Noor Nabila, 36, dan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal, 46, terjawab apabila mereka telah sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz, jam 10.02 pagi tadi di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail.

Pasangan itu dinikahkan berwalikan adik Nabila, Mohamed Aqief Mohd Noor. Dalam majlis serba ringkas tersebut, Nabila menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin. Tiada dulang hantaran diberi dan dibalas oleh pengantin, manakala wang hantaran juga tidak dimaklumkan.

Berlangsung dalam norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Majlis diraikan bersama kehadiran ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat sekitar 20 ke 30 orang tetamu.

Nabila meluahkan rasa syukur apabila majlis pernikahan keduanya itu berjalan dengan lancar, selain berkata mereka hanya melakukan perkara wajib dan tiada majlis lain diadakan selepas ini.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan serba ringkas dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis hanya dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan sahaja. Kami buat yang wajib, selain bersederhana. Apa yang penting kami mahukan keberkatan. Kami tidak merancang mengadakan majlis lain selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Nabila yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Jebat Jayden Ahmad berusia dua tahun setengah hasil perkahwinan dengan pelakon Sharnaaz Ahmad itu turut menafikan desas-desus mendakwa dia dan Engku Emran mengikat tali pertunangan seperti tular sebelum ini.

"Kami tidak bertunang seperti yang disangka. Saya mula mengenali Engku Emran sekitar Ogos, tahun lalu. Waktu itu, kami hanya berkawan. Kami mula rapat sekitar hujung tahun lalu. Malah, kami berkongsi minat sama termasuk dalam sukan berbasikal," jelasnya.



Kedua mereka pernah melalui bahtera rumah tangga sebelum ini, Nabila berkata mereka tahu apa yang diinginkan sebagai pasangan dan akan melakukan yang terbaik untuk perkahwinan ini.

"Kami pernah melalui pengalaman berumah tangga, sebelum ini. Jadi, kami agak matang dan tahu apa yang diinginkan sebagai pasangan hidup. Insya-Allah, kami akan buat yang terbaik dan sentiasa ada untuk satu sama lain," ujarnya.

Sementara itu, Sharnaaz yang mendirikan rumah tangga dengan Nabila pada Mac 2017 sebelum disahkan bercerai pada Julai tahun lalu secara hakam itu berkata dia sentiasa mendoakan kebahgiaan Nabila. Ujarnya, bekas isterinya juga berhak untuk rasa bahagia.



"Saya hanya doakan kebahagiaan semua orang. Nabila ada hak untuk bahagia, so why not… Semoga dia bahagia. Kalau mereka gembira, gembiralah saya. Happy anak saya, happy juga saya," tuturnya.

Dalam pada itu, Neelofa juga turut menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas perkahwinan kakaknya bersama Engku Emran yang berlangsung pagi Jumaat.

Sambil mengharapkan agar bahtera perkahwinan yang dibina kekal hingga akhirnya, bekas hos program MeleTOP ini turut berdoa semoga ikatan yang terjalin terus dirahmati olehNya.



"Hari ini merupakan hari bahagia kakak saya, Noor Nabila. Saya berasa sangat gembira melihat Nabila meraih bahagia dan saya berharap agar kebahagian yang dilimpahkan kepadanya akan kekal sampai bila-bila.

"Doa dan harapan saya agar kedua mereka saling melengkapi, dan semoga Allah SWT merahmati rumah tangga Nabila dan suami sehingga ke akhir nadi syurga," kata Neelofa yang juga merupakan seorang pelakon dan usahawan.

Untuk makluman, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, penyanyi dan pengacara, Erra Fazira. Hasil perkahwinan tersebut, Engku Emran dan Erra dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Aleesya.

Selepas bercerai dengan Erra, Engku Emran berkahwin pula dengan bintang Indonesia, Laudya Cynthia Bella, sebelum bercerai Julai tahun lalu, setelah dua tahun mendirikan rumah tangga.










www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, mStar, Media Hiburan & Kosmo

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: