30 March 2021

ZHARIFF AFANDI MINTA NETIZEN HENTI KECAM BABY SHIMA ISU HINA OKU



Penyanyi Baby Shima baru-baru ini mengambil keputusan untuk menghubungi tokoh orang kurang upaya (OKU), Zhariff Afandi pada petang Isnin, selepas berasa kesal melakukan video parodi meniru aksi tokoh itu sehingga tular di media sosial.

Zhariff menerusi perkongsian di Facebook miliknya memberitahu Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli telah memohon maaf secara peribadi atas kesilapan yang tidak disengajakan.

Simpati dengan keadaan Shima, Zhariff meminta netizen berhenti meninggalkan komen negatif atau kecaman kepada penyanyi berusia 29 tahun itu.

"Baby Shima sudah menghubungi saya secara peribadi untuk memohon maaf atas perkongsiannya sebelum ini. Dia juga sudah menjelaskan bahawa dia tidak menyedari yang saya tidak mempunyai tangan.

"Bagaimanapun, tidak perlu teruskan lagi kecam ke atas gadis ini. Dia terima terlalu banyak kecaman di laman sosial, di mana ia bukan sesuatu yang baik," kata Zhariff.

Klik untuk gambar besar



Terdahulu, akibat tidak sensitif, Shima akhirnya mengundang kemarahan ramai apabila dia dilihat seolah-olah mempermain-mainkan keadaan fizikal Zhariff Afandi menerusi aplikasi TikTok.

Dalam video terbabit, Shima melakonkan semula aksi Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan menggunakan anggota kaki untuk melakukan tugas harian dalam sebuah sesi temu bual sebuah program TV.

Menyedari tindakannya dikecam, Shima terus mengambil langkah memadam video tersebut dan memohon maaf atas kesilapannya yang dilakukan secara tidak sengaja.

Penyanyi lagu 'Pura-Pura Bujang' itu bagaimanapun menjelaskan dia tiada berniat untuk mempersendakan golongan OKU seperti Zhariff dengan melakukan parodi berkenaan.


Dalam pada itu, Shima turut memuat naik video dia menghubungi Zhariff untuk membuat permohonan maaf dan menjelaskan perkara sebenar di Instagram miliknya.

"Sumpah demi Allah... saya tak ada niat nak hina abang (Zhariff). Saya buat video itu selepas melihat video abang di TikTok dan saya tak perasan langsung keadaan abang macam itu.

"Betul abang... sumpah demi Allah, saya tak perasan langsung. Saya tak ada niat langsung, saya buat untuk TikTok saya. Selepas 30 minit saya upload video, saya terbaca komen mengenai keadaan abang.

"Selepas saya mengetahui fasal abang, saya terus padam video itu. Tapi selepas empat hari, ada orang kongsi video tersebut. Saya betul-betul minta maaf," kata Shima kepada Zhariff.


www.myartis.com / Sumber: mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: