28 April 2021

KUARANTIN SELEPAS JADI KONTAK RAPAT - EZZATY LEGA NEGATIF, BERANG SIKAP PENTING DIRI



"Ramadan kali ini betul-betul menguji. Saya dimaklumkan mengenai salah seorang pelakon yang saya jalani penggambaran bersama positif Covid-19 ketika saya sudah berada di rumah ibu bapa di Bentong, Pahang. Kebetulan ketika itu, saya pulang ke kampung sebab nak ambil anak saya yang dijaga ibu bapa saya sementara saya shooting selama dua hari di KL.

"Bila dapat tahu, saya terus asingkan diri dan pakai pelitup muka sepanjang masa. Pulang saja di KL, saya terus buat ujian calitan. Walaupun keputusan negatif, saya tetap ambil insiatif untuk kuarantin sendiri di rumah. Hari ini, dah masuk tujuh hari saya kuarantin.

"Alhamdulillah, saya sudah lakukan ujian calitan buat kali kedua dan keputusan negatif tapi saya akan terus kuarantin selama 10 hari demi keselamatan semua orang," kata pelakon Ezzaty Abdullah apabila mengetahui dirinya merupakan kontak rapat pesakit Covid-19 ketika suaminya, pelakon Azwan Kombos kini berada di Sabah untuk jalani penggambaran.

Menurut Ezzaty, dia hanya dimaklumkan perkara itu ketika sudah berada di rumah ibu bapanya yang terletak di Bentong, Pahang dan terpaksa mengasingkan diri sebelum pulang ke Kuala Lumpur untuk melakukan ujian calitan.

Klik untuk gambar besar



Difahamkan, Ezzaty mengambil inisiatif tersebut selepas mengetahui salah seorang pelakon yang menjalani penggambaran sebuah drama bersamanya iaitu Laila Nasir yang disahkan positif Covid-19 pada Jumaat lalu.

Biarpun selepas mengetahui keputusan ujian calitan yang dibuat negatif, namun aktres berusia 31 tahun ini tetap meneruskan kuarantin selama 10 hari demi keselamatan orang sekeliling.

Disebabkan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19, pelakon drama siri 'The Maid' itu berasa sedih apabila terpaksa berjauhan dengan anaknya iaitu Harum Dalia yang kini dijaga oleh ibu bapanya sepanjang dia menjalani kuarantin kendiri di rumahnya di Kuala Lumpur. Keadaan tersebut telah dikongsikan Ezzaty menerusi laman Instagram.



Dalam masa sama, Ezzaty turut meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir orang yang mementingkan diri sendiri biarpun merupakan kontak rapat pesakit Covid-19.

"Sepanjang kuarantin ini, Harum dijaga oleh ibu bapa saya di Bentong. Bila jadi macam ini, saya rasa seperti ibu yang teruk. Sedih... sebab terpaksa tinggalkan anak. Keadaan macam ini juga membuatkan saya kecewa dengan sikap orang yang sepatutnya kuarantin tapi masih berjalan-jalan keluar.

"Ada saja saya lihat dia ini kontak rapat tapi selfish... tetap berjalan keluar. Benda ini melibatkan nyawa dan keluarga orang lain. Kalau anda tak sayang keluarga, lantak la... tapi jangan sebarkan virus kepada orang lain," ujarnya lagi dipetik sebagai berkata melalui mStar

Untuk makluman, Ezzaty mendirikan rumah tangga dengan Azwan pada 16 Julai 2016 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Harum Dalia yang kini berusia empat tahun.







www.myartis.com / Foto: Instagram Ezzaty Abdullah & Azwan Kombos


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: