22 May 2021

DIPANGGIL ISU TIDAK PAKAI PELITUP MUKA - 'KEISTIMEWAAN' NEELOFA DIKEMUKAKAN KEPADA PENGARAH MAHKAMAH N9



"Ya, pihak polis akan ambil keterangan Neelofa dalam masa terdekat," itulah kata Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim yang memberitahu, perkembangan berhubung isu selebriti popular, Noor Neelofa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka seperti mana diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), akan dimaklumkan selepas tindakan selesai diambil.

Noor Neloofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd. Noor akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dalam masa terdekat untuk diambil keterangan berhubung laporan tersebut.

Sebelum ini ada melaporkan mengatakan, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap Neelofa susulan terkesan berita yang tular di mana selebriti itu hadir ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Seremban, Khamis lalu dengan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka.

Beliau berkata, laporan polis diterima kerana tindakan Noor Neelofa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka sepertimana diwajibkan pihak KKM kepada semua orang.

Menurut Mohd. Said, penjelasan berkenaan SOP tersebut juga telah dikeluarkan oleh KKM setelah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021

Sementara itu, aduan berhubung keistimewaan yang diberikan kepada Neelofa ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban kelmarin telah dipanjangkan kepada Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

Klik untuk gambar besar



Ia susulan aduan daripada pihak peguam yang mempersoalkan keistimewaan yang diberikan kepada Noor Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd. Ismail apabila kenderaan mereka dibenarkan parkir di premis Kompleks Mahkamah Seremban ketika didakwa, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri Sembilan, Azmi Abdoll Aziz berkata, aduan tersebut telah dibuat oleh salah seorang peguam pada petang Khamis lalu iaitu pada hari yang sama pasangan selebriti itu didakwa atas pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Peguam-peguam di Negeri Sembilan ada membuat aduan kepada Pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri Sembilan tentang hal ini dan kami menerima satu surat bertulis daripada seorang peguam pada 20 Mei lalu (Khamis).

"Perkara ini (aduan) telah dipanjangkan kepada Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan pada pukul 3 petang semalam (Jumaat), dan kami masih menunggu maklum balas berhubung isu tersebut dan pihak mahkamah akan jawab sewajarnya," katanya.

Semalam, tular aduan peguam yang memaklumkan selebriti itu dibenarkan parkir dalam mahkamah manakala individu lain perlu meletakkan kenderaan di kawasan seberang jalan di mana perkara itu boleh boleh menimbulkan persepsi dan menjejaskan integriti mahkamah.

Sebaliknya, pengadu memberitahu hanya kenderaan milik kakitangan, peguam, polis, pendakwa raya dan pengecualian kepada orang awam (jika kurang upaya)dibenarkan parkir dalam premis mahkamah.

Malah, pengadu turut mendakwa bahawa ada sesetengah peguam yang dimarahi oleh pegawai keselamatan apabila mereka meminta untuk memasuki perkarangan mahkamah, namun mereka patuh kepad arahan bagi menghormati integriti institusi tersebut.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: