22 May 2021

DIKECAM ISU NAMA 'SEARCH' - NASIR MINTA SEMUA PIHAK & PEMINAT BERTENANG



"Saya dengan rendah diri meminta supaya semua pihak terutama peminat-peminat yang kami sayangi bertenang sebentar. Kita serahkan kepada yang arif untuk tangani isu ini. Ini bukan pergaduhan atau peperangan tetapi suatu transaksi perniagaan yang memerlukan penjelasan dan pencerahan.

"Saya percaya peminat, penyokong Search serta rockers adalah golongan yang cintakan keamanan dan kedamaian," kata pemain bass Search, Nasir yang mengajak netizen terutama peminat kumpulan rock legenda itu supaya memahami dengan mendalam mengenai isu hak cipta dan harta intelek sesuatu jenama itu.

Ini berikutan isu penggunaan nama Search untuk tujuan perniagaan seperti dilakukan individu dan satu syarikat, baru-baru ini. Isu terbabit turut panas dengan reaksi kebanyakan peminat Search yang dilihat seperti tidak bersetuju dengan tindakan Amy dan Nasir itu.

Nasir dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, meminta supaya semua pihak bertenang dan menyerahkan proses perundangan kepada mereka yang lebih arif. Menurutnya, akibat kekurangan pemahaman mengenai isu utama menyebabkan Search terutamanya Amy dihujani kecaman.

Klik untuk gambar besar



"Isu hak cipta dan harta intelek adalah perkara utama. Kita lihat pelbagai komen serta ragam daripada netizen terhadap isu yang sedang hangat ini. Ada yang okay dan berikan nasihat yang baik dan ada yang membuat komen negatif terhadap Search. Tak kurang juga yang mencerca Amy kononnya bekas anggota Search," ujarnya.

Menurut Nasir, kenyataan media yang dikeluarkan pihaknya bersama Amy dan waris Allahyarham Yazit perlu dibaca dengan teliti sebelum membuat andaian.

"Ramai yang kurang mengerti atau tidak memahami isu dan apa yang sedang berlaku sebenarnya. Kenyataan media yang Search, kelmarin harus dibaca dan diteliti dengan bijak.


"Perkara yang dinyatakan di dalam kenyataan media itu ialah Search mendapat tahu bahawa Home of Champions (HOC) menjalankan perniagaan menggunakan nama Search atau imej-imej yang berkaitan dengan Search tanpa kebenaran kami. Malah tidak ada perjanjian bertulis walaupun sekeping kertas. Selain itu, tiada perbincangan rasmi bersama semua anggota Search," tulis Nasir lagi.

Nasir berkata, dia bersama Amy dan waris Allahyarham Yazit Ahmad tampil demi pembelaan, keadilan dan hak mereka yang sewajarnya: "Perjuangan ini adalah untuk semua lima anggota yang ada hak di dalam Search mahupun yang sudah tiada," akhirnya.

Semalam, Amy, Nasir dan waris Yazit dalam sesi Instagram Live memberi tempoh tujuh hari terhadap individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat Home of Champions untuk menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: