09 May 2021

NORA DANISH & TIZ ZAQYAH DISAHKAN POSITIF COVID-19



Pada pagi Ahad, dua pelakon drama 'Covid Oh Covid' iaitu Nora Danish, 39, dan Tiz Zaqyah, 33, menerusi laman Instagram masing-masing telah memaklumkan mereka disahkan positif Covid-19.

Menerusi Instagram Nora, dia berkata hasil keputusan ujian calitan (swab test) yang dilakukan mendapati dia telah dijangkiti virus tersebut meskipun tidak menunjukkan sebarang simptom.

"Nora buat ujian sebab kontak rapat kategori C. Keputusan pagi tadi mendapati Nora positif walaupun langsung tak ada sebarang simptom. Sekarang Nora kuarantin di dalam bilik agar anak-anak dan suami selamat.

"Mereka dah lakukan ujian PCR pukul 12 tengahari tadi dan doakan untuk kami semua ya. Bagi sesiapa yang ada jumpa Nora antara 4 hingga 8 Mei, tolong buat swab test ya. Jaga diri dan jaga SOP. Maafkan saya!" katanya.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Tiz atau nama sebenar Siti Zaqyah Abdul Razak, memberitahu dia turut menerima keputusan sama selepas melakukan ujian calitan kerana berasa tidak sihat.

"Assalamualaikum... bermula dengan batuk ringan dan menggigil, terasa badan saya tak macam biasa. Pada Ahad dalam pukul 8.30 pagi saya menerima panggilan daripada Pusat Perubatan Subang Jaya memaklumkan saya disahkan positif Covid-19 dan dinasihatkan kuarantin diri di rumah.

"Tolong dapatkan ujian segera jika ada demam, selsema, bersin, sakit kepada. Jangan terlalu yakin sebab mungkin ada yang tiada simptom... pergi buat ujian sebelum ia menjadi lebih teruk. Duduk di rumah. Ia (virus) ada di mana-mana sahaja. Ini bukan gurauan," ujarnya.





www.myartis.com / Sumber: Instagram Nora Danish & Tiz Zaqyah

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: