28 June 2021

ISTERI BERSALIN AWAL AKIBAT ASMA, BAYI ALAMI MASALAH PERNAFASAN - FITRI HARIS MOHON DOA



Pada 9.07 pagi, Isnin di Hospital Pakar An-Nur, Bangi, isteri yang juga pengurusnya kepada penyanyi Dr Fitri Haris iaitu Fazilah Omar telah selamat bersalin anak lelaki.

Jelas Fitri, 36, isterinya terpaksa menjalani pembedahan dan melahirkan bayi awal dari tarikh sepatutnya disebabkan berdepan penyakit asma yang teruk.

Bukan itu sahaja, Fitri serta isteri juga berdepan dengan dugaan apabila bayi mereka menghadapi masalah pernafasan selepas dilahirkan dan kini dipantau di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

"Alhamdulillah... isteri saya selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 9.07 pagi tadi secara pembedahan. Ikutkan due date dia sekitar 15 Julai depan. Tapi terpaksa bersalin awal sebab isteri saya ada masalah asma yang teruk dan dia sudah ditahan wad sejak tiga hari lalu. Sebelum itu, memang keadaan dia dah teruk... seperti nyawa-nyawa ikan dah.

Klik untuk gambar besar



"Itu yang doktor memang cadangkan untuk lakukan pembedahan awal. Buat masa sekarang isteri masih berehat tapi bayi kami pula alami masalah pernafasan. Tapi kata jururawat, itu perkara biasa untuk bayi yang dilahirkan secara pembedahan. Sekarang ini doktor masih pantau memadangkan degupan jantungnya masih laju," katanya.

Sebelum ini, penyanyi nasyid itu berkongsi berita gembira kelahiran bayi lelakinya menerusi laman Instagram miliknya pada Isnin dan rata-rata netizen serta rakan artis mengucapkan tahniah. Melihat pada entri yang dikongsikan, Fitri mengharapkan orang ramai mendoakan bayi lelakinya yang terpaksa ditahan wad NICU.

Dalam pada itu, juara Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua ini mengakui berasa teruja melalui momen itu seperti menyambut kelahiran anak pertama bersama Fazilah. Menurut Fitri, dia dan isterinya buat masa kini masih belum mempunyai nama untuk bayi mereka namun akan berkongsi apabila sudah bersedia.



"Memang sangat teruja menantikan kelahirannya... rasa seperti nak menyambut anak pertama. Buat masa sekarang, kami belum ada nama untuk baby. Insya-Allah nanti dah ada, saya akan kongsikan bersama. Harap semua orang boleh mendoakan keadaan isteri dan bayi kami," ujarnya.

Pada Disember 2019, bekas anggota UNIC ini mendedahkan dia sudah berkahwin dengan pengurusnya iaitu Fazilah Omar atau lebih mesra disapa El.

Fitri pernah tiga kali menduda dan mempunyai seorang cahaya mata bernama Sofea Soleha, 16, yang menetap bersama bekas isterinya di Singapura. Manakala Fazilah juga pernah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Qhalish Rayyan Adam, 10.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: