03 July 2021

"BENDERA PUTIH BUKAN TANDA MENGALAH, LEMAH" - NAIM DANIEL TUNJUK SOKONGAN



"BENDERA PUTIH BUKAN TANDA MENGALAH. BENDERA PUTIH BUKAN TANDA LEMAH. Jangan takut, jangan malu," demikianlah tulis penyanyi dan pelakon, Naim Daniel menerusi laman Instagram miliknya baru-baru ini dimana dia memuat naik video perkongsian tanda sokongannya terhadap kempen Bendera Putih.

Perkongsian Naim itu adalah bagi membantu mereka yang memerlukan dengan menunjukkan cara menghasilkan bendera putih dengan menggunakan barang yang ada di rumah.

Dalam hantaran tersebut, Naim menggunakan kaedah kitar semula menggunakan batang penyapu, gunting, gelang getah, kemeja-T putih dan plastik putih sebagai bahan.

"Di sini, saya cuba sampaikan cara-cara untuk membuat bendera putih bagi meminta pertolongan makanan, sokongan emosi dan kewangan menggunakan barang yang ada di rumah anda.

"Harap dapat membantu kalian serba sedikit Insya-Allah. Semoga Allah memeluk kalian dengan kemas, selalu. Jangan melakukan sebarang tindakan yang mampu mengguris hati ahli keluarga kalian ya? Kita cuba lagi.

Klik untuk gambar besar



"Pastikan ia (bendera putih) diletakkan di tempat yang boleh dilihat oleh jiran tetangga. Ini boleh dijadikan tanda isyarat sama ada (memerlukan) bantuan makanan, kewangan mahu pun emosi.

"Jangan malu sebab sekarang kita cuma ada kita. Kita cuba sedaya upaya untuk membantu masyarakat semampu yang boleh," kata pelantun lagu 'Purnama' itu.

Naim pada masa sama turut juga menegaskan supaya bantuan yang dihulurkan tidak dijadikan kandungan untuk dimuat naik ke platform media sosial semata-mata.

"Saya minta, jangan jadikan ia sebagai kandungan terutamanya di media sosial. Jaga aib orang yang memohon pertolongan kepada kita," ujarnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: