"Isteri nak bersalin. Situasi Covid-19 yang tiada kesudahan dan tiada kerja. Ia memang buat saya pening kepala. Mana lagi ikhtiar saya untuk cari duit?" itulah kata pelakon Aman Graseka, 53, yang mengakui pening untuk mencari duit apabila isterinya, Nurul Amrina Zamri, 32, bakal melahirkan cahaya mata kedua mereka bulan depan, selepas hilang punca pendapatan susulan pandemik Covid-19.
Berikutan itu, pelakon berusia 53 tahun itu meminta penerbit dan pengarah filem berjudul 1875 menjelaskan bayaran sebanyak RM25,000 yang tertunggak sejak empat tahun lalu. Selepas hilang punca pendapatan sejak dua tahun lalu Aman kini menetap di kampung halaman isterinya di Padang Geh, Kuala Ketil.
Mengulas mengenai bayaran yang dituntutnya itu, Aman atau nama sebenarnya Aman Shah Baharom Shah berkata filem tersebut yang menjalani penggambaran empat tahun lalu diterbitkan menggunakan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan masih belum ditayangkan.
"Pada peringkat awal, kami menandatangani kontrak menggunakan nama syarikat lain. Namun, selepas seminggu penggambaran, pengarah ini tukar nama syarikat kepada nama lain. Jadi, dia kata tak nak bayar satu sen pun kerana kami tandatangan dengan syarikat lain. Malah ketika penggambaran di sebuah resort di Sungai Itik, Gopeng, Perak saya terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membayar sewa di lokasi," ujarnya.
Menurut Aman, isteri yang ketika itu menemaninya turut ditawarkan berlakon, namun turut tidak menerima sebarang bayaran. Untuk makluman, Aman dan Nurul Amrina turut mempunyai seorang anak lelaki, Aishymir Mateen yang kini berusia dua tahun.
"Isteri sepatutnya menerima bayaran RM3,000. Saya sering menghubungi penerbit itu tapi dia hanya berikan janji palsu. Katanya apabila ada duit dia pasti akan bayar. Akhirnya saya hilang sabar dan mempersoalkan janjinya. Dia kemudian bertindak menyekat sebarang panggilan dan mesej saya. Saya amat kecewa dengan sikapnya dan tak mahu perkara ini berlaku lagi kepada pelakon lain selepas ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Aman yang melakonkan watak Datuk Maharaja Lela dalam filem itu mengakui dia ada meminta bantuan daripada rakan-rakan namun memahami dalam keadaan sekarang mereka juga berdepan kesusahan. Ujarnya lagi, dia juga ada meminta bantuan daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), tetapi belum ada sebarang jawapan.
________________________
No comments:
Post a Comment