13 July 2021

ISTERI DIBENARKAN KELUAR HOSPITAL - NIZAM BERSYUKUR DUIT RAWATAN MASIH CUKUP



"Alhamdulillah, pembedahan berjaya Sekarang isteri pun dah dibenarkan balik ke rumah untuk penjagaan lebih teliti. Saya gembira dan bersyukur kepada Allah kerana memberi semangat kuat kepada isteri untuk berjuang melawan penyakitnya. Isteri, seorang yang sangat tabah dan saya bangga dengan semangatnya.

"Setakat ini, dia sudah menjalankan rawatan kimoterapi sebanyak enam sesi pusingan dan juga pembedahan ini. Tidak lama lagi, buat rawatan radioterapi pula," demikian kata penyanyi Nizam Laksamana, 55, yang bersyukur masih lagi mampu menguruskan perbelanjaan rawatan isterinya, Salwati Zulkifli, 46, yang selamat menjalani pembedahan akibat kanser payudara tahap dua dihidapi, pada Jumaat lalu.

Nizam dihubungi berkata pembedahan membuang payudara sebelah kiri isterinya berlangsung selama tiga jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dibuat atas nasihat doktor untuk keselamatan kesihatan dan kesembuhan.

Menurut Nizam, dia juga bersyukur rezeki isterinya agak murah apabila kos rawatan dapat ditampung oleh tiga anak mereka yang sudah bekerja termasuk perniagaan muruku secara 'online' yang diusahakannya sejak musim pandemik ini.

Klik untuk gambar besar



"Saya memang tegas taknak menerima sumbangan dari mana-mana pihak kerana sedar ramai lagi orang yang susah sekarang dan perlu dibantu. Untuk keperluan rawatan isteri, insya-Allah saya dan anak-anak termasuk adik-beradik boleh saling membantu.

"Buat masa ini, kewangan rawatan diperlukan masih cukup. Apapun, terima kasih saya ucapkan kepada semua yang dah bantu mendoakan isteri. Doktor pun kata, keadaan kesihatan isteri boleh kembali pulih walaupun sekarang belum stabil kerana perlukan masa," jelasnya.

Untuk makluman, Nizam dan Salwati bernikah pada 1995 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata berusia di antara 25 hingga 17 tahun. Terdahulu, Nizam mendapat tahu isterinya menghidap kanser payudara pada Januari, tahun ini.

Nizam yang cukup popular dengan lagu 'Gugurnya Bunga Cinta' itu berkata walaupun dia, isteri dan keluarga dimpa ujian besar ini, mereka tetap bersyukur kerana sedar Allah lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: