26 July 2021

NAJMAN REDA KEHILANGAN TIGA AHLI KELUARGA AKIBAT COVID-19



"Janji Allah itu pasti, mati itu pasti, kami reda dengan ketentuan Allah. Mereka Allah ambil ke negara abadi disebabkan Covid-19. Masyaallah pemergian kamu berdua. Cinta sejati hingga ke mati. Bakal menjadi ingatan dan kenangan. Moga berada di taman-taman syurga.

"Sakit kamu syahid," demikianlah tulis bekas penyampai radio, Najman Mohamed, 51, yang berkongsi berita duka apabila kehilangan ahli keluarga iaitu adik dan adik iparnya, akibat Covid-19.

Najman menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan adik lelakinya, Azman Mohamed, 45, meninggal dunia pada 22 Julai lalu, manakala isteri Allahyarham, Norashima Ramli, 44, pula meninggal dunia selang dua hari kemudian iaitu pada 24 Julai.

Menurut Najman, Allahyarham adiknya dan keluarga dijangkiti Covid-19 dan kini tiga anak saudaranya masih mendapatkan rawatan lanjut. Menerusi hantaran dibuat, Najman turut memohon orang ramai mendoakan kesembuhan anak-anak Allahyarham iaitu Aina, 21, Danish Qawiem, 16 dan Jazel, berusia lima tahun daripada wabak itu.

Difahamkan Danish kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor manakala Aina dan Jazel pula masih menerima pemerhatian rapi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Klik untuk gambar besar



Najman bagaimanapun berkata, dua anak saudaranya sudah dibawa ke Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta: "Sementara anak kedua arwah masih dirawat di Hospital Sungai Buloh kerana memerlukan pemantauan berikutan masalah oksigen," katanya.

Najman tidak menyangka kehilangan tiga ahli keluarga dalam tempoh singkat berikutan pandemik COVID-19. Lebih menyayat hati, tiga anak saudara yang turut dijangkiti wabak itu, bergelar yatim piatu dalam sekelip mata.

"Saya sedih kehilangan tiga ahli keluarga serentak dalam tempoh dekat. Semua ini ketentuan Allah, mati itu pasti, apabila tiba masanya kita semua pergi juga. Namun, seperkara yang memujuk hati kami, arwah adik dan adik ipar meninggal dunia dalam keadaan syahid disebabkan wabak itu.

"Perkara itu berlaku sekelip mata. Sebelum ini, kita membaca kisah anak-anak yang jadi yatim piatu akibat ibu bapa menjadi korban COVID-19. Tidak sangka perkara ini terjadi dalam keluarga kami," tuturnya.

Najman berkata, dia dan adik ketiganya akan menguruskan soal penjagaan tiga anak saudaranya itu. Sementara itu, Najman dan adiknya, Azhar mengambil inisiatif mewujudkan kumpulan WhatsApp berkaitan pengurusan anak saudara yang turut disertai keluarga sebelah arwah adik iparnya.



Tambahnya, kumpulan WhatsApp itu memudahkan semua urusan berhubung penjagaan dan pengurusan ketiga-tiga anak saudara berikutan pergerakan yang terbatas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Bagaimanapun, apa yang lebih penting buat masa ini, kami mahu memastikan ketiga-tiga mereka sihat terlebih dulu. Keadaan cukup sulit buat mereka yang masih muda. Mereka sangat sedih apabila menerima berita pemergian ibu bapa. Namun, kami sentiasa suntik semangat agar mereka kuat.

"Cuma kami minta rakan atau kenalan mereka, usah ganggu anak saudara buat sementara waktu kerana mereka masih berjuang. Jika ingin dapatkan maklumat, hubungi kami. Kami juga berharap tiada pihak yang ambil kesempatan mewujudkan tabung buat mereka kerana bimbang bantuan tidak sampai kepada waris," jelasnya yang kali terakhir bertemu dengan arwah adiknya, Mei lalu.

Terdahulu, dilaporkan Allahyarham Azman meninggal dunia pada jam 8.44 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala Norashima pula menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.45 petang di Hospital Serdang, Selangor. Kedua-dua jenazah selamat dikebumikan di Mount Austin, Johor Bahru, Johor atas permintaan arwah adik iparnya.


Pada 15 Julai lalu, Najman juga kehilangan abang sepupu, Allahyarham Ismail Hashim yang meninggal dunia disebabkan Covid-19. Justeru, dia meminta orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sementara itu, Najman turut mencadangkan kerajaan menyediakan lebih banyak pasukan sokongan yang memiliki kemahiran supaya sistem kesihatan lebih sistematik.

Tambahnya, kaunter ujian calitan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) juga perlu dibuka agar orang ramai yang datang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 tidak terdedah kepada virus COVID-19 berikutan arwah adik dijangkiti selepas mendapatkan dos pertama.

"Saya berharap kerajaan dapat menyediakan kaunter khas kerana terlalu ramai yang datang ke PPV dan menyebabkan risiko untuk dijangkiti COVID-19 sangat tinggi. Bagi saya jarak satu meter tidak memadai ditambah pula dengan tempat berhawa dingin menambahkan risiko jangkitan," katanya.

Untuk rekod, bagi penggemar radio di negara ini nama Najman pastinya tidak asing kerana dia pernah berkhidmat di stesen radio popular seperti Era dan Sinar.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: