11 July 2021

NIA RAMADHANI, SUAMI & PEMANDU PERIBADI DIHANTAR KE PUSAT PEMULIHAN DADAH



Ekoran penahanan dalam penyalahgunaan dadah pada Rabu lalu, pelakon popular Indonesia, Nia Ramadhani, 31, bersama suaminya, Ardi Bakrie dan pemandu peribadi yang dikenali sebagai ZN akan dihantar ke pusat pemulihan, hari ini.

"Mungkin hari ini akan berangkat ke pusat pemulihan," kata peguam Nia, Nur Zainab.

Bagaimanapun, belum diketahui waktu dan lokasi ketiga-tiganya akan memulakan pemulihan. Terdahulu, Nur Zainab mengesahkan Nia, Ardi dan ZN menerima cadangan Badan Narkotika Nasional (BNN) untuk menjalankan pemulihan.

Sementara itu, Ketua Polis Metro Jakarta Pusat, Hengki Haryadi menjelaskan, Nia dan Ardi ditahan di bawah Akta 127 Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2009 Bahagian Narkotik. Sesuai dengan akta itu, pasangan itu dikategorikan sebagai pengguna dadah.

Klik untuk gambar besar



Hengki menjelaskan, pengguna dadah wajib menjalankan pemulihan mengikut undang-undang tersebut.

"Saya mahu menjelaskan, dakwaan mengatakan perkara ini tidak diproses mengikut Akta 127 adalah tidak benar. Setiap pengguna dadah perlu menjalani pemulihan. Ini adalah kewajipan undang-undang," jelasnya.

Merujuk undang-undang, Hengki berkata, Nia dan Ardi akan dihantar ke pusat, bagaimanapun proses pemulihan tidak ditentukan oleh polis, sebaliknya BNN.



"Pemulihan tidak ditentukan oleh polis. Jika ada permintaan keluarga, kami akan memudahkannya. Ia akan dilaksanakan oleh pasukan penilaian bersepadu membabitkan BNN, pendakwa raya, doktor, psikiatri dan penyiasat di luar Jakarta Pusat," ujarnya.

Dalam masa sama, Hengki turut menepis dakwaan orang ramai yang mendakwa pasangan suami isteri itu menerima layanan istimewa. Hengki berkata, tiada unsur pilih kasih dalam mengendalikan kes berkenaan.

Terdahulu, menerusi sidang media, semalam, Nia menangis teresak-esak memohon maaf. Pelakon sinetron 'Bawang Putih Bawang Merah' itu bersama suami mengakui, menyesal dengan perbuatan dilakukannya dalam penyalahgunaan dadah.

Nia dan Ardi meminta masyarakat tidak meniru perbuatan mereka, malah sedar apa yang dilakukan selama ini satu kesalahan dan melanggar peraturan.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: