11 July 2021

"KAMI ADA BANTU FENDY... BANTUAN BULANAN PATUT DIA DAPAT DARI JKM, BAITULMAL" - AZMI



"Kami ada bantu Fendy, tapi apa yang termampu saja. Namun, kisah Fendy ini memang sedih dan kami semua bersimpati. Sebenarnya, dia (Fendy) dah mula terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lagi, tapi cuba bertahan dengan wang simpanannya.

"Fendy, memang pandai menyimpan wang selama ini dan tak boros berbelanja. Tapi, keadaannya menjadi rumit selepas berpindah menyewa seorang diri bersama anaknya di kondominium di Sentul itu yang sewanya mahal.

"Ditambah sejak pandemik Covid-19 melanda memang tahun lalu, Caliph Buskers kurang dapat tawaran. Bahkan aktiviti persembahan nyanyian secara terbuka pun tak dibenarkan," kata vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat, 34, yang lega apabila nasib rakannya yang juga pemain dram kumpulan itu, Fendy Adlun, 30, kini mendapat perhatian bantuan daripada pelbagai pihak.

Azmi dihubungi memberitahu rakan Caliph Buskers pun sebelum ini ada juga membantu Fendy, tapi mana yang termampu oleh mereka kerana masing-masing pun ada komitmen.

Klik untuk gambar besar



Menurut Azmi, dia bersama rakan Caliph Buskers lain juga tidak terkejut dengan tindakan Fendy berkongsi kesusahan dialaminya di media sosial dan tular. Katanya, Fendy memang layak mendapat bantuan ketika ini.

"Lagi pun, ada bantuan bulanan yang patut dia dapat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk orang kurang upaya (OKU) serta Baitulmal, tapi tak dapat. Itu yang membuatkan dia lebih susah untuk kewangan.

"Apapun, saya berterima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu Fendy dalam situasi wabak sekarang. Kami dari Caliph Buskers ini adalah pemuzik OKU dan tetap berusaha meneruskan kelangsungan hidup kerana sedar banyak orang lain juga terjejas.

"Namun, paling buat saya tersentuh tentang Fendy, apabila dia sanggup menjual peralatan muziknya untuk menampung kehidupan. Ketika dia bertindak menjualnya, saya terkejut. Tapi, ada juga saya beli peralatan dijual itu.


"Harapan saya kini, semoga Fendy mendapat rumah dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dinginkan, sebab dia dah pernah mohon tapi, tak dapat. Kediaman penting untuk dia dan anaknya berteduh," ujarnya lagi.

Selain Azmi dan Fendy, Caliph Buskers dianggotai Zaki Ismail selaku pemain basis, Nirwan Zainalabidin (pemain gitar) serta bekas isteri Fendy, Nadira Rubiana (shaker).

Meskipun semua anggota Caliph Buskers berhadapan terjejas kehidupan, tapi tidak serumit Fendy. Azmi berkata Zaki ada dapat rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) manakala, Irwan kini menjalankan perniagaan menjual kek bersama isterinya.

Terdahulu, Fendy menjadi perhatian ramai apabila membuat pendedahan keadaan kehidupannya yang sangat memerlukan bantuan kini terutama rumah kerana tidak lagi mampu membayar sewa kerana punca pendapatan terjejas.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: