07 July 2021

VIDA MINTA JANGAN BANDINGKAN DENGAN EBIT LEW: "MINTA MAAF BUAT APA?... DIA-DIA, AKU-AKU!"



"Saya nak minta maaf untuk apa? Netizen sebenarnya banyak buat tafsiran sendiri. Banyak komen-komen yang menghentam saya. Ada yang kata saya kaya tapi riak tak nak tolong orang dan macam-macam lagi. Maksud saya, kita boleh beri bantuan kepada mereka ini. Namun, dalam masa sama mereka kenalah buat sesuatu daripada mengharap bantuan semata-mata. Habis takkan mereka nak duduk saja?

"Cakap-cakap saya serba tak kena dan orang main hentam walaupun saya buat penjelasan sebenar. Pada saya, mereka kena buat kerja seperti mula berniaga walaupun tanpa modal. Jangan hanya mengharapkan bantuan. Ikutkan ada juga orang yang susah tapi dia tak angkat bendera putih.

"Pandangan saya ialah dari sudut orang berniaga di mana mereka yang diberhentikan kerja pasti ada duit. Mengapa tak ambil sedikit untuk buat modal berniaga? Itu yang saya maksudkan. Ada juga jenis perniagaan di mana orang boleh buat 'dropship' tanpa modal. Tapi, nak cakap apa pun mereka dah tak peduli dan nak juga kecam.

"Fikirkan kalau sekiranya bantuan berupa sumbangan makanan, jadi sewa rumah, bil elektrik dan air siapa nak bayar? Sampai bila nak terus begini? Saya maksudkan, mereka boleh berniaga sampai habis PKP dan selepas itu kembali bekerja seperti biasa. Sejak tahun lalu lagi saya sebenarnya dah banyak menyumbang tapi bukanlah saya hantar sendiri atau turun padang. Alhamdulillah ribuan juga saya bantu. Tapi dalam keadaan sekarang saya pun dah rasa bosan dan nak turun padang bagi bantuan pada peniaga.

"Bolehlah saya buat video sikit. Bukan niat saya nak balas dendam kerana nanti netizen kata dah kena kecam nak tunjuk baik pula. Alhamdulillah, makan dah ada tapi mereka risau pasal sewa rumah pula. Takkan kami nak kena bayarkan pula. Kalau sebulan bolehlah tolong tapi selepas itu macam mana pula.

Klik untuk gambar besar



"Saya dah pernah berdepan perkara itu dan itulah sebabnya saya keluarkan kenyataan yang dianggap melampau," kata jutawan kosmetik, Datuk Seri Vida (DSV) yang tidak akan membuat permohonan maaf berhubung video dalam aplikasi TikTok di mana dia dikatakan tidak sensitif dengan isu kibar bendera putih.

Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman ketika dihubungi berkata, tiada keperluan untuk dia meminta maaf kerana dia tidak bermaksud untuk menghalang bantuan untuk mereka yang memerlukan. Vida berkata, ada yang memaklumkan bantuan ini hanya bersifat sementara bagi menunggu PKP selesai, namun dia melihat sebaliknya. Katanya, perniagaan ini boleh dibuat dari rumah atau membuka gerai di depan rumah.

Terdahulu, Vida menjadi buah mulut ramai apabila dikatakan tidak sensitif apabila memuat naik video dalam aplikasi TikTok ketika singgah di gerai milik seorang pemuda di sebuah kawasan perumahan. Dalam video berkenaan, Vida menyifatkan mereka yang mengangkat bendera putih ini kurang berusaha dan malas mencari pendapatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Vida mengakui banyak pihak menanti masa untuk menghentam dan dia hanya menelan semuanya. Vida berkata, dia mempunyai pengalaman sendiri semasa memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib sebelum ini. Tampil menjelaskan maksud sebenar di sebalik kenyataan yang tular daripada video TikTok akaun peribadinya, kata Vida dia sebenarnya mahu menyuntik semangat kepada orang ramai untuk berusaha mengubah diri.


"Saya pernah tinggal duit 50 sen, jadi saya mulakan beli sabun, pinjam duit kawan. Itu dulu ketika waktu susah. Tentang #BenderaPutih, saya memang menyokong tapi dalam isu ini bukan semua orang sanggup letak bendera putih depan rumah semata-mata nak dapatkan bantuan. Ada yang malu dengan jiran, kalau letak nanti kena kutuk.. Ada juga takut anak-anak marah nanti jatuh air muka. Walhal mak di rumah tak ada duit nak makan," ujarnya menerusi sesi siaran langsung di Instagramnya pada Selasa.

Turun sama menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, Vida sendiri akui dia melihat pelbagai senario semasa rakyat di sekitarnya. Nasihatnya kepada netizen agar bertenang dan menilai kenyataan daripada sudut positif. Dalam masa sama, Vida juga turut meminta agar dirinya tidak dibanding-bandingkan dengan pendakwah popular Ustaz Ebit Lew.

"Kepada netizen... bertenang. cool down. Siapa rasa nak kutuk, kena mulakan berubah dulu, move on! Mulakan impian dan apa kita nak, ini tak.. lagi banyak negatif daripada positif. Semua orang tak nak hadam apa saya nak cakap, apa kata tengok daripada sudut positif. Sama juga kalau angkat bendera putih pun, bukannya bantuan terus sampai dalam tempoh 5 minit. kalau banyak alasan macam mana nak kaya?

"Saya bukan Ebit Lew, aku dari susah sekarang senang. Dia dia aku aku. Aku tak ditakdirkan untuk jadi macam dia, Aku adalah DSV yang mula dari susah sekarang senang, berkat usaha, ikhtiar, tawakkal dan berdoa. Tidak sama-sama diciptakan. Kalau semua diciptakan sama maka tiadalah orang susah tiadalah orang kaya," tambahnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: