28 August 2021

AL-FATIHAH - IBU ANGKAT LINDA HASHIM DIJEMPUT ILAHI



Takziah kami ucapkan kepada pelakon Linda Hashim atas kehilangan ibu angkatnya, Rahimah Hashim, 50-an yang meninggal dunia awal pagi semalam. Berita duka tersebut dikongsikan isteri kepada pelakon Beego ini menerusi laman Instagram miliknya.

"Tak terkata bila dapat tahu ibu (ibu angkat) yang saya memang sangat-sangat rindu pergi ke negeri abadi pada Jumaat hari yang mulia ini. Ibu pernah minta saya doakan dia ketika saya pergi umrah dulu supaya dia diberikan kesihatan yang baik, panjang umur dan kalau Allah nak ambil dia, ambillah hari Jumaat.

"Allahuakbar ibu, Allah makbul permintaan ibu. Tenanglah ibu di sana sebagai bidadari syurga. Linda sayang ibu. Semoga ayah dan semua keluarga terus kuat," tulisnya.

Linda ketika dihubungi berkata, dia terkilan kerana sudah lama tidak bertemu ibu angkatnya di Banting, Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Klik untuk gambar besar



"Saya tiada emak, jadi ibu yang menggantikan tempat emak saya sejak berbelas tahun lalu. Bahkan ketika saya kali pertama bertemu keluarga Beego (suami) di Johor, ibu yang temankan. Semua mak cik saya tinggal jauh, jadi saya bergantung kasih dan harap dengan ibu.

"Apa-apa saya minta tolong dia temankan termasuk ke mana-mana. Dia akan ambil dan hantar. Memang kami rapat. Tapi, disebabkan PKP kami tak dapat jumpa. Bukan dia saja, ayah kandung saya di Jelebu, Negeri Sembilan pun saya tak dapat jumpa," katanya.

Linda berkata, dia diberitahu Rahimah mengalami demam biasa kelmarin dan lemah tubuh badan: "Ayah (suami ibu angkat) bawa ke klinik untuk ambil ubat. Doktor kata kadar oksigen dan darah semakin merosot, namun apabila buat ujian swab RTK Covid-19, keputusannya negatif.


"Memandangkan ibu ada kencing manis dan ambil insulin, doktor minta dia dirujuk dan ditahan di hospital. Di sana ibu dua kali buat ujian swab RTK dan keadaannya tetap negatif. Pada sebelah malam keadaannya makin teruk. Oksigen dan tekanan darah merosot dan dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 1 pagi," jelasnya.

Linda berkata, sepanjang mengenali ibu, wanita itu sangat baik, lemah lembut dan tak pernah marah. Linda mengakui, ibu dan suaminya sayangkan mereka sekeluarga, manakala dia pula menganggap anak-anak ibu seperti adik-beradiknya.

"Cakap pun baik-baik. Saya sayang dia dan suaminya. Kalau pergi ke rumahnya dia sediakan macam-macam. Dia adalah tempat saya mengadu masalah dan menangis. Ketika saya mengandung anak pertama, dia hadiahkan gelang emas untuk bayi padahal dia bukan orang senang dan hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Waktu nak buat umrah pada 2012, saya mesej dia minta doakan keselamatan perjalanan saya. Kemudian saya tanya dia nak saya doakan apa? Dia minta doakan kesihatan dan kesejahteraannya. Tapi, kalau Allah nak ambil dia, ambillah hari Jumaat. Tak sangka permintaan itu jadi kenyataan. Saya pula memang buat seperti yang dipesan. Semua yang titip doa menerusi saya, pasti saya akan buat," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: