07 August 2021

'AYASH AFFAN' TUNJUK PERKEMBANGAN POSITIF - TAHAP OKSIGEN SITI SARAH ADA PENINGKATAN



"Setakat pagi ini Sarah masih belum sedar. Masih perlu bantuan oksigen, cuma Alhamdulillah ada peningkatan. Cuma pukul 11 malam oksigen drop sampai 40. Tapi pukul 2 pagi Alhamdulillah oksigen naik 77 dan baru tadi doktor beritahu oksigen Sarah 80," jelas pelawak Shuib Sepahtu mengenai isterinya, penyanyi Siti Sarah.

Shuib memaklumkan tahap oksigen dalam badan Sarah ada peningkatan biarpun masih tidak sedarkan diri selepas pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungan yang berusia tujuh bulan itu pada petang Jumaat.

Pada masa sama, Shuib memberitahu Sarah masih memerlukan alat bantuan pernafasan dan keadaan oksigennya membimbangkan pada tengah malam Jumaat.

Untuk makluman, kadar ideal oksigen di dalam badan manusia adalah melebihi 95 peratus. Dalam pada itu, Shuib memohon orang ramai terus mendoakan isterinya kuat menempuhi keadaan yang sukar itu.

"Saya harap semua yang melihat post ini terus mendoakan dia dan anak ya. Semoga kalian dipermudahkan urusan dunia dan akhirat," tambahnya.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Shuib berkata Sarah teringin nama 'Ayash Affan' dan mereka sepakat beri nama tersebut kepada cahaya mata keempat. Shuib turut meminta orang ramai mendoakan agar bayi mereka itu terus sihat dan dapat bertahan dalam masa dua bulan ini. Katanya, isterinya yang mahukan anak mereka itu diberi nama tersebut.

"Sarah yang nak sangat beri nama Ayash Affan. Doakan Ayash Affan jadi anak yang soleh. Doakan dia kuat untuk bertahan dalam masa dua bulan ini," ujarnya.

Menerusi satu perkongsian di Insta Story, Shuib memaklumkan bayi lelaki mereka yang dilahirkan secara pramatang sudah mula menunjukkan perkembangan positif. Shuib meluahkan rasa syukur dan berkata anak keempatnya itu sudah mula membuka mata dan keadannya kini stabil.

"Alhamdulillah sedikit update untuk Ayash Affan. Dia dah buka mata, kaki dah menendang-nendang, tangan bergerak aktif dan keadaan baby stabil. Ya Allah syukur, ini juga berkat doa anda semua yang tidak henti-henti mendoakan kesihatan Ayash.



"Saya balikkan doa-doa kalian, semoga kalian juga dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan yang baik, terhindang segala kemudaratan, insyaAllah Amin," tulisnya.

Sebelum ini, Shuib mengakui dia hampir hilang pertimbangan di atas apa yang berlaku, bagaimanapun, dia reda di atas segala kemungkinan dan ujian.

"Tipu la kalau cakap saya ni okay… 10 tahun kenal Sarah, dialah yang mendewasakan saya, dia banyak mendoakan saya. Kini saya sangat berlapang dada, tadi saya almost lost dan tercari-cari. Saya reda dengan ujian Allah ni, akan ada kebaikan nanti.

"Saya buka mata, buka hati saya untuk apa saja yang berlaku lepas ni… walaupun benda itu tidak baik tapi itu adalah yang terbaik buat keluarga saya," ujarnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: