22 August 2021

DAPAT PERHATIAN - AHLI KELUARGA SHERIE POSITIF COVID-19 KUARANTIN DI ROYALE CHULAN KL



Pelakon Sherie Merlis sebelum ini meluahkan rasa bimbang menerusi laman Instagram apabila adiknya disahkan positif Covid-19 dan diminta menjalani kuaranti di rumah. Lebih membuatkan Sherie resah apabila rumah kediamannya itu padat dengan 11 ahli keluarga termasuk adiknya itu.

Apatah lagi, kediaman itu turut didiami ibu bapa mereka yang berdepan masalah penyakit kronik serta lima kanak-kanak dan seorang bayi. Ujar Sherie, adik perempuannya itu disahkan positif namun diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah sehingga tindakan lanjut diambil dalam masa terdekat.

Terkini, rayuan dan luahan Sherie akhirnya mendapat perhatian apabila adiknya yang positif Covid-19 ini ditawarkan untuk menjalani kuarantin di sebuah hotel di Kuala Lumpur

Simpati dengan nasib Sherie yang terpaksa mendiami sebuah rumah bersama anggota keluarga yang ramai, hotel Royale Chulan Kuala Lumpur dengan kerjasama Megaklinik Zahran segera menghulurkan bantuan dengan menyediakan lokasi untuk kuarantin.

Menurut Pengurus Besar Royale Chulan Kuala Lumpur, Badrul Rezal Baharudin, pihaknya akan menguruskan tempat tinggal dan rawatan sepanjang kuarantin selama 10 hari di hotel berkenaan.

"Pihak kami mengetahui mengenai keadaan Sherie selepas membaca artikel di mStar. Jadi, kami terus cuba menghubunginya. Kebetulan pula, rakan kerjasama kami iaitu Megaklinik Zahran turut ada menghubungi Sherie untuk membantunya.

Klik untuk gambar besar



"Pihak Megaklinik akan menguruskan hal rawatan serta kenderaan yang membawa keluarga itu ke hotel kami. Manakala kami akan menaja sepenuhnya dari segi penginapan dan makan minum sepanjang mereka kuarantin di hotel selama 10 hari," katanya.

Menerusi ujian calitan yang dilakukan, adik aktres berkenaan bersama suami dan dua anak kecil mereka didapati positif Covid-19 dan sudah dibawa ke hotel itu kira-kira pukul 8 malam Ahad.

Manakala ahli keluarga yang lain termasuk pelakon telefilem '30 Hari Puasa' itu sudah melakukan ujian calitan dan tidak dijangkiti virus berkenaan.

Dalam pada itu, Badrul menjelaskan bantuan yang diberikan merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilakukan oleh pihak hotel.

"Royale Chulan Kuala Lumpur dengan kerjasama Megaklinik Zahran sememangnya menawarkan khidmat rawatan dan pusat kuarantin buat pesakit Covid-19. Kami menawarkan bantuan dan menaja sepenuhnya keluarga Sherie yang dijangkiti wabak tersebut," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: