03 August 2021

DISYAKI TERBABIT PEMERDAGANGAN ORANG - PELAWAK TERKENAL DITAHAN



Bagi membantu siasatan polis atas dakwaan kes pemerdagangan manusia di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, seorang pelawak terkenal yang popular menerusi rancangan Maharaja Lawak telah ditahan dan direman empat hari. Peserta berkenaan pernah mendapat gelaran naib juara dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega yang disertainya secara berkumpulan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani, lelaki berusia 40-an itu ditahan dalam serbuan Ops Pintas dilakukan kira-kira jam 10 pagi, Ahad lalu. Dalam insiden tersebut, polis berjaya menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks.

"Menerusi Ops Pintas, kami berjaya menahan seorang lelaki dan menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks. Mangsa telah mendapat perintah perlindungan sementara dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda," kata Amran.

Hasil pemeriksaan pihak polis merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, beberapa bungkusan kondom, sejumlah wang dan empat buah telefon bimbit. Suspek juga dikenakan kompaun atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. Suspek direman bermula Ahad hingga Khamis di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Suspek direman selama empat hari manakala mangsa yang diselamatkan mendapat perintah perlindungan sementara dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor. Suspek juga dikenakan kompaun bagi kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) ( Pelan Pemulihan Negara) 2021. Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang itu," jelasnya lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: