"Pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan mak, abang dan kakak disahkan positif COVID-19 dan perlu menjalani proses kuarantin di rumah. Mereka kini ditempatkan dalam satu bilik supaya abang dan kakak dapat memantau mak.
"Setakat ini, mak berada dalam keadaan yang baik dan terkawal walaupun dia baharu saja disahkan mengalami masalah di sepanjang saluran pankreas dan hempedu. Cuma, sekarang ini terdapat gejala yang dialami seperti demam dan cirit-birit.
"Satu demi satu dugaan berlaku, tapi saya anggap ini sebagai satu ujian Allah. Namun, saya perlu positif untuk menguruskan mereka. Jadi, saya bersama isteri akan menyediakan segala keperluan mereka.
"Mujurlah ada isteri di sisi yang boleh membantu saya dalam keadaan kedua-dua tangan saya yang masih belum pulih akibat kemalangan yang berlaku sebelum ini," kata pelawak Achey dari kumpulan Bocey yang memaklumkan bahawa ibu tercinta serta dua adik beradiknya yang lain telah disahkan positif COVID-19.
Maklum Achey lagi, keputusan ujian saringan COVID-19 yang diterima kelmarin telah mengesahkan bahawa mereka dijangkiti wabak tersebut dan kini sedang menjalani proses kuarantin di rumah.
Klik untuk gambar besar
Difahamkan, ibu, abang dan kakak Achey berada dalam keadaan baik dan terkawal meskipun orang tuanya itu baru sahaja mengalami masalah kesihatan di sepanjang saluran pankreas dan hempedu.
Achey yang reda dengan dugaan menimpanya bertalu-talu itu menganggap apa yang terjadi adalah satu ujian daripada Allah S.W.T dan hanya mahu berfikiran positif. Dia dalam pada itu meluahkan rasa ralat kerana tidak dapat membantu dalam menguruskan proses vaksinasi buat ahli keluarganya.
"Buat masa ini operasi perniagaan yang diuruskan keluarga terpaksa dihentikan untuk proses sanitasi. Cuma apa yang saya ralat sekarang ini kerana tak sempat nak bantu mereka dapatkan vaksin lebih awal. Iyalah risau juga dengan keadaan mereka yang sibuk berniaga di luar dan berjumpa orang ramai.
"Tapi, saya faham sekarang ramai yang sudah ada kesedaran untuk mendapatkan vaksin dan perlu menunggu giliran untuk proses ini. Cuma, ralat tak dapatkan vaksin awal dan sekarang mereka disahkan positif Covid-19," ujar Achey mengakhiri bicara.
________________________
No comments:
Post a Comment