"Kalau ikutkan saya jarang nak sembur netizen tapi apabila ada orang yang tak sensitif komen macam tu... memang geram la! Ya mungkin dia sekadar nak tanya tapi soalan macam tu boleh fikir logik kut. Takkanlah saya tak tahu hukum sampai sanggup nak bagi anak isteri makanan tak halal.
"Fikirlah dulu sebelum nak komen," itulah kata pelakon Nazrief Nazri apabila seorang individu bertanyakan "Halal ke?" terhadap makanan berpantang isteri.
Mengakui bengang dengan pertanyaan itu, Nazrief berkata dia masih waras dan tahu membezakan halal dan haram sumber makanan yang diberikan kepada keluarga.
Nazrief sebelum itu berkongsi video isterinya, Aizatul Aqma Hamdan berpantang selama 30 hari di sebuah pusat penjagaan ibu dan anak yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.
Klik untuk gambar besar
Dalam video itu, Nazrief dilihat menyediakan kelengkapan untuk isterinya termasuklah menyuapkan makanan. Namun, ada pengikut meragui status makanan yang disediakan oleh pusat penjagaan itu.
Sementara itu, pelakon drama 'Rindu Yang Terindah' ini meminta pengguna media sosial berfikir dahulu sebelum menulis sesuatu kerana dibimbangi boleh menyinggung perasaan orang lain.
"Sebelum nak komen fikir perasaan orang lain dulu, jangan menulis sesuka hati... fikir komen tu akan buat orang terasa atau tak?" ujarnya yang turut memaklumkan isteri dan anaknya sudah pulang ke rumah pada Isnin.
Untuk makluman, Nazrief dan Aizatul menimang cahaya mata sulung lelaki pada 19 Julai lalu di sebuah pusat perubatan di Putrajaya. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 15 November 2019 di The Seavoy House, Titiwangsa, Kuala Lumpur.
________________________
No comments:
Post a Comment