09 August 2021

JENAZAH SITI SARAH SELAMAT DIKEBUMIKAN DI LOKASI SAMA KUBUR ARWAH IBU



Selepas waktu Zohor kira-kira pukul 1.38 tengah hari, jenazah Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin telah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak dekat sini.

Suaminya, pelawak Shuib Sepahtu atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad turut kelihatan mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk mengiringi perjalanan akhir isterinya yang tercinta selain membantu urusan pengebumian.

"Jenazah arwah akan dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 12 tengah hari ini. Arwah memang minta dikebumikan di sebelah kubur arwah ibunya. Jika berbual soal kematian, arwah ada menyebut keinginan disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya," kata Shuib.

Hanya petugas yang lengkap memakai PPE dilihat berada di bawah kawasan berbumbung hijau yang meneduhi liang lahad tempat jasad Allahyarhamah disemadikan.

Antara rakan artis yang dilihat hadir memberi penghormatan terakhir dari jauh ialah rakan pelawak, Rahim dengan anggota polis mengehadkan bilangan individu yang dibenarkan masuk ke perkarangan kawasan perkuburan.

Klik untuk gambar besar



Anggota polis turut memaklumkan hanya ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan berada di perkarangan tanah perkuburan dan mengingatkan semua yang hadir termasuk petugas media agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sebelum ini, van yang membawa jenazah Allahyarhamah tiba di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 12.40 tengah hari selepas bergerak dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia kira-kira pukul 12.13 tengah hari.

Untuk mkluman, Siti Sarah, 37, dikejarkan ke hospital berkenaan Selasa lalu selepas tahap oksigen dalam tubuhnya menurun pada Rabu lalu dan ditidurkan usai melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Ayash Affan.

Beliau dan suaminya dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin yang berusia enam tahun.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: