20 August 2021

MAHU 'MOVE ON', JADI LEBIH BAIK - LAN PET PET BERI SUMBANGAN MAKANAN



"Saya tak nak kenang lagi segala cerita yang berlaku sebelum ini. Biarlah ia berlalu begitu saja. Malas nak diingat lagi. Saya sekarang nak 'move on' dan enggan pedulikan lagi kata-kata netizen yang selalu kecam saya tanpa usul periksa.

"Namun, saya nasihatkan netizen janganlah mudah menghukum dan mengeji sehingga babitkan nama ibu bapa. Kena ingat sekarang akhir zaman dan banyak fitnah," kata pelawak yang juga anggota kumpulan Senario, Lan Pet-Pet.

Lan yang juga bergelar seorang pelakon itu sebelum ini telah dihujani dengan pelbagai kontroversi bermula dengan isu memukul seorang pengawal keselamatan, memukul seorang penghantar makanan dan terkini dikatakan menjual barang terlarang. Perkara tersebut ternyata memberi kesan terhadap Lan.

Meskipun pelbagai pandangan negatif dan kecaman dilemparkan netizen di media sosial. Lan berkata, dia enggan mengambil peduli kerana dia kini ingin memperbanyakkan amalan untuk bekalan ke akhirat.

"Salah satunya ialah dengan bersedekah dan menyantuni golongan gelandangan sekitar ibu kota dengan mengagihkan makanan buat mereka. Perasaan gembira saya sukar digambarkan apabila tengok mereka begitu bersyukur dengan pemberian saya. Ternyata mereka amat menghargai apa yang diberikan," ujarnya yang mengagihkan hampir 100 pek makanan, semalam.

Menurutnya, dia memilih memberikan makanan semalam memandangkan ia adalah malam Jumaat: "Ia juga sempena malam 10 Muharram yang diketahui mempunyai kelebihan tersendiri seperti mana disebutkan Nabi Muhammad SAW dalam hadis. Apa salahnya kita sama-sama mencari keberkatan dengan kedatangan 10 Muharram," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: