20 August 2021

"TAK ADA SIAPA CONTACT PUN" - CAPRICE PELIK POLIS MINTA BANTUAN INTERPOL



"Pelik, my number is public... tak ada siapa contact pun. Kedutaan Malaysia pun tak beritahu apa-apa," kata penyanyi rap Caprice hairan mengapa pihak polis terpaksa menggunakan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejakinya yang kini berada di Mesir.

Menurut Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 33, dia tidak menerima sebarang panggilan atau mesej daripada pihak polis di Malaysia berhubung siasatan terhadap laporan yang dibuat personaliti dakwah, Ebit Lew pada 21 Julai lalu.

Caprice berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah yang memberitahu pihaknya gagal menghubunginya untuk diambil keterangan secara dalam talian.

Kata Ashari, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan Interpol selepas Caprice dikatakan tidak membalas mesej yang dihantar pihaknya. Selain Caprice polis turut mengesan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berhubung siasatan bagi kes yang sama.

Klik untuk gambar besar



Tambah Caprice, dia sangat terkejut selepas membaca kenyataan polis kerana yakin pihak berkuasa mempunyai kepakaran untuk menghubunginya. Dalam pada itu Caprice yang kini sedang melengkapkan misi jangka panjang Road To Al Aqsa 2040 berkata dia sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi.

"Saya sangat yakin OCPD ada akses kepada kedutaan atau WhatsApp. Tapi ini menjadi kes pertama dalam sejarah apabila Interpol digunakan untuk kes fitnah antara dua influencer. Saya rasa ada kes-kes lagi berat di dunia dan di Malaysia yang perlu Interpol, FBI dan polis. Semestinya saya sedia, siapa je tak nak kerjasama dengan pihak polis," .

Sementara itu bagi menjawab tentang dakwaan memfitnah Ebit Lew, Caprice menafikannya: "Alhamdulillah selama saya hidup tak pernah fitnah sesiapa kerana dalam Islam perbuatan itu lebih teruk daripada membunuh seseorang," katanya.

Pada 21 Julai lalu, Ebit Lew membuat laporan polis mendakwa dia difitnah dipercayai berkaitan isu misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza, Palestin.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: