20 August 2021

KINI ANAK PM - DAFI YAKIN BAPA GALAS TANGGUNGJAWAB DENGAN BAIK



"Saya tumpang gembira atas pengumuman itu," itulah kata penyanyi dan pelakon Dafi apabila bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Pendana Menteri ke-9 hari ini selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Ditanya sama ada timbul kebimbangan kerana dia kini turut menggalas tanggungjawab sebagai anak kepada Perdana Menteri, bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu berkata, dia akan terus menjadi diri sendiri dan menjalankan tanggungjawabnya mengikut didikan ibu bapanya.

"Semasa berita nama bapa saya disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri, saya ada terfikir juga beberapa perkara, tapi saya tak risau sangat. Saya bersyukur sebab saya bekerja dalam bidang hiburan pun, ada tanggungjawab sosial yang perlu saya jaga.

"Jadi, saya tak perlu tukar apa-apa pun. Saya akan teruskan jadi diri saya dan kalau boleh, ke arah yang lebih baik. Ibu bapa saya pun sudah beri didikan secukupnya kepada saya," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Selepas pengumuman tersebut, nama Dafi menjadi trending di Twitter apabila Ismail Sabri disebut sebagai Perdana Menteri susulan mendapat undian majoriti untuk membentuk kerajaan baharu sejak Khamis.

Meluahkan rasa bangga, Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail yakin bahawa bapanya mampu menggalas tanggungjawab itu dengan baik seperti mana beliau menjaga keluarga mereka. Bukan itu sahaja, penyanyi berusia 33 tahun ini juga melihat kejayaan bapanya itu adalah hasil kerja keras yang bermula dari bawah.

"Saya letakkan diri sebagai seorang rakyat Malaysia biasa. Sudah tentu apabila ada pemimpin yang baharu, kita mahukan beliau lakukan yang terbaik dan saya yakin papa akan lakukan sebaik yang mungkin. Secara peribadi, saya melihat dia seorang yang bekerja keras. Kejayaan beliau sekarang ini adalah hasil kerja kerasnya yang bermula dari bawah.


"Sejujurnya, hanya saya dan keluarga saya saja tahu betapa dia seorang bapa yang terbaik. Begitu juga apabila menjadi seorang pemimpin... dia inginkan yang terbaik untuk seluruh rakyat. Dia pernah hidup susah sebab itu dia tak nak lihat orang lagi susah," ujarnya.

Dalam pada itu, Dafi mengakui dia sudah lama mempersiapkan diri untuk berdepan dengan sebarang kritikan dan kecaman. Menganggap akan ada orang yang membenci, Dafi bagaimanpun mahu sentiasa berfikiran positif seperti mana yang diajar oleh bapanya sejak kecil lagi.

"Saya bukan harus bersedia tapi memang dah bersedia. Bagi saya, dalam hidup ini bukan semua orang akan suka kita... sama juga la bukan semua orang kita suka. Apa saja kritikan selepas ini, saya menerima dengan positif sebab semua orang ada pendapat masing-masing.

"Saya sendiri pun kena sentiasa berfikiran positif. Lagipun dari dahulu lagi saya jenis tak ambil pusing dengan kritikan atau kecaman. Sejak kecil saya ikut papa, dan apa yang saya belajar daripada dia, kita kena sentiasa fikirkan orang lain," kata Dafi yang kini membintangi filem komedi seram, 'Ada Hantu'.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: