09 August 2021

SOLAT JENAZAH ARWAH ISTERI PAKAI PPE - SHUIB BERSYUKUR DIBERI PELUANG



Diberi kesempatan menunaikan solat jenazah buat arwah isteri, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), pagi ini, dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE), pelawak Shuib Sepahtu meluahkan rasa syukur.

"Alhamdulillah, arwah juga akan dikebumikan di tanah perkuburan sama dengan arwah ibunya," kata Shuib.

Penyelaras Pengurusan Jenazah HCTM, Ustaz Mohd Sanusi Mustafa memberitahu, jenazah akan disempurnakan dengan kaedah tayamum sebelum solat jenazah. Shuib bersama beberapa ahli keluarga perlu memakai (PPE) ketika solat jenazah dilakukan.

"Pada peringkat pertama, saya bersama dua wakil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) akan menyempurnakan jenazah dengan kaedah tayamum sebelum solat jenazah.

"Kemudiannya, barulah Shuib bersama ahli keluarga diberi kesempatan menunaikan solat jenazah sekali lagi, namun dibekalkan dengan PPE kepada mereka," kata penyelaras Pengurusan Jenazah HCTM, Ustaz Mohd Sanusi Mustafa.

Jenazah arwah Siti Sarah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, kira-kira jam 12 tengah hari, hari ini.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di ICU, HCTM akibat COVID-19, jam 5.13 pagi ini. Pemergian penyanyi lagu 'Semakin' itu disahkan oleh Shuib sendiri laman Instagram (IG).

Ibu kepada empat cahaya mata itu berada dalam keadaan koma selepas dan bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan. Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, kelmarin.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19. Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: