02 September 2021

ALAMI SEMPUT & LEMAH JANTUNG - ALI XPDC MASUK UNIT KECEMASAN PPUM



"Sejak tiga empat hari ini saya mengalami semput dan lemah jantung. Hari ini (Khamis) keadaan semakin teruk, jadi saya terus pergi hospital. Sekarang saya ditempatkan di unit kecemasan dahulu. Harap-harap saya tak perlu ditahan wad. Awal tahun ini, saya dimasukkan ke wad sebab semput.

"Selepas itu keadaan saya dah baik. Tapi sejak kebelakangan ini, semput datang balik dan sekarang berdepan masalah jantung pula," jelas penyanyi kumpulan rock XPDC iaitu Ali apabila dia sekali lagi mengalami masalah semput sejak empat hari lalu.

Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail yang ernah dimasukkan ke hospital pada awal tahun ini, berkata selain serangan asma atau lelah, dia juga mengalami masalah lemah jantung.

Difahamkan, Ali yang sedang dirawat di unit kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berharap keadaannya cepat pulih agar tidak perlu ditahan wad.

Klik untuk gambar besar



Ali mengalami masalah pernafasan selepas dia terlibat dalam insiden disambar api pada 26 Mac tahun lalu. Akibat daripada kemalangan tersebut, penyanyi lagu 'Aku Dan Sesuatu' itu mengalami kecederaan yang sangat serius apabila muka dan tangannya melecur 30 peratus.

Dalam pada itu, Ali turut mengakui dia terpaksa memohon bantuan untuk membeli barangan keperluan menerusi laman sosial. Penyanyi berusia 53 tahun ini turut bersyukur kerana ramai orang dan rakan-rakan yang sudi menghulurkan bantuan selepas melihat video perkongsiannya di laman sosial.

"Sejujurnya saya terpaksa memohon bantuan sebab sangat memerlukan. Sebab sudah lama tak ada income. Sebab itu, saya ada muat naik video memohon bantuan.

"Alhamdulillah... ada yang sudi memberi sumbangan dan rakan-rakan juga ada yang membantu. Kalau ada yang faham, mereka sudi bantu. Kita usaha... kalau ada yang sudi beri bantuan, Alhamdulillah," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: