21 September 2021

IBU BERSYUKUR IZUAN FITRI KINI MAKIN SEMBUH DARI PENYAKIT TIBI



Menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif, pelakon Mohd Izuan Fitri, 19, akhirnya dibenarkan pulang ke rumah, semalam selepas hampir tiga bulan dirawat di hospital akibat penyakit tibi.

Izuan dikejarkan ke Hospital Selayang selepas diserang sawan pada 31 Julai lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan selamat menjalani pembedahan pada bahagian otak pada 5 Ogos lalu.

Bagi terus memantau keadaan kesihatannya, pelakon remaja itu dipindahkan pula ke Institut Perubatan Respiratori (IPR) untuk pemantauan lanjut dan penjagaan rapi pada hujung Ogos lalu.

Ibunya, Norainon Abdul Rani berkata, dia kini lega dan bersyukur kerana anak bongsu daripada tujuh beradik itu sudah dibenarkan pulang ke rumah untuk penjagaan yang lebih selesa.

"Keadaannya pun lebih ceria dan gembira kerana dijaga rapi oleh abang dan kakak. Keadaan perkembangan kesihatan yang ditunjukkan Adik sekarang sangat positif dan membahagiakan kami sekeluarga. Dia dah boleh senyum dan abang pula dah beri makan macam-macam termasuk ramen. Tapi, setakat ini Adik masih tak boleh bercakap lagi," katanya.

Norainon berkata, mengikut doktor yang merawat, anaknya mungkin dalam keadaan trauma kerana berpindah tempat rawatan beberapa kali dan ia mengambil masa untuk pulih dan tidak dipastikan berapa lama. Katanya, Izuan juga akan menjalani pemeriksaan susulan untuk otaknya bersama doktor mengikut temujanji ditetapkan pada Oktober ini.

"Saya ucapkan terima kasih tidak terhingga pada kalian dan hanya Allah saja dapat membalas semuanya. Namun, bagi yang nak menghulurkan bantuan, saya menerima dengan hati terbuka kerana ia rezeki buat Adik untuk kami menguruskan perbelanjaan keperluan kesihatannya.

"Saya pun sudah tidak sesuai bekerja atas faktor usia. Untuk perbelanjaan penyediaan keperluan Adik seperti ubat-ubatan, susu, lampin pakai buang, losyen, pelapik lampin pakai buang, tisu basah, pelitup mulut dan hidung dianggarkan RM1,700 sebulan," jelasnya.

Justeru, bagi maklumat lanjut mengenai bantuan untuk Izuan Fitri, boleh mengirim mesej di Facebook Nor Abdul Rani. Sepanjang pembabitan dalam kerjaya lakonan, Izuan Fitri pernah memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) TV3 pada 2015 dan Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: