26 September 2021

"SUDAH JODOH KAMI BERSAMA" - EZLYNN KAHWINI WAN HAFIZAM 2 MINGGU LALU



Kalau sudah jodoh tidak ke mana... demikian halnya dengan penyanyi Ezlynn Ariffin, 39, apabila dia mengesahkan sudah bertemu jodoh dengan penderma hati pertama negara, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45. Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin berkata, pernikahan mereka berlangsung dua minggu lalu tanpa diadakan sebarang majlis.

"Awalnya kami berdua kawan saja, tiada perancangan untuk kahwin pun. Tapi sudah jodoh kami untuk bersama. Dia hubungi ibu bapa saya meluahkan hasratnya. Keluarga saya setuju dan ayah jadi wali, manakala abang jadi saksi. Prosesnya amat mudah. Pernikahan kami dibuat dari rumah secara dalam talian. Lagipun kami tak pernah merancang untuk kahwin dan semuanya kerja Allah," jelas Ezlynn.

Ezlynn berkata, dia menghormati kehendak keluarganya dan apabila mereka melarang mengadakan majlis secara besar-besaran. Berhubung detik perkenalan, Ezlynn memberitahu, mereka mula berkenalan ketika sama-sama terbabit dalam aktiviti amal dalam sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada tahun lalu.

"Saya nak jaga keluarga dan bukan orang luar. Saya nak jaga Allah dan bukan semua orang. Saya tenang jalani kehidupan tanpa perlu letak gambar kami di media sosial. Saya hormati semua orang. Saya tak nak tunjuk kebahagiaan kerana bimbang mengundang penyakit 'ain' jika ada yang melihatnya sehingga menyimpan bibit-bibit cemburu dalam hati.

Klik untuk gambar besar



"Saya tak nak ulas status suami kerana yang penting saya sudah selamat bergelar isterinya. Kalau orang nak salahkan fasal poligami, ibaratnya mengata Rasulullah SAW kerana dalam Islam dibolehkan," katanya yang memohon masyarakat mendoakan kebahagiaan mereka.

"Kami kenal-kenal begitu sahaja dan dia ada tolong saya dalam beberapa kerja yang dilakukan. Saya tertarik dengannya sebab hatinya. Dia orang yang kuat agama dan tak berkira serta banyak bantu orang. Dia bukannya buat untuk dunia dan lebih kepada akhirat.

"Itu yang buat saya tertarik kerana saya pun dah tak cari dunia dan lebih kepada akhirat. Saya nak cari orang yang begitulah. Keluarganya pun sangat okey," ujarnya lagi.



Sementara itu, Wan Mohd. Hafizam berkata, dia dan Ezlynn tidak pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga, apa lagi untuk bertemu jodoh.

"Saya tahu dia artis tapi tak sangka boleh bertemu jodoh dengannya. Ada satu perkara mengenai Ezlynn yang saya suka iaitu dia amat menitik beratkan soal solat. Dia amat menjaga perkara tersebut walaupun sesibuk mana pun. Saya sendiri tidak menyangka akan bertemu jodoh dengannya kerana saya hanya orang biasa manakala dia seorang penyanyi terkenal.

"Saya sendiri tidak menyangka bertemu jodoh dengannya kerana perkara ini berlaku dalam tempoh yang singkat. Saya hanya menjalani babak-babak percintaan selepas berkahwin dengan Ezlynn. Sebelum ini, saya ada memberitahu hasrat untuk berkahwin kepada ibu bapa Ezlynn termasuk keluarga saya dan mereka telah bersetuju.



"Saya telah dinikahkan sendiri oleh bapa Ezlynn dalam satu majlis yang sangat ringkas pada dua minggu lalu di rumah Ezlynn. Majlis pernikahan itu dijalankan secara ringkas dan segala urusan berjalan lancar. Saya juga memohon orang ramai mendoakan perkahwinan kami kekal dan bahagia hingga ke akhirat," kongsinya.

Untuk makluman, Ezlynn sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas pengurus peribadinya, Adam Fahmy Shamsudin pada 20 November 2011 sebelum bercerai pada 2017. Namun, perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara Wan Mohd. Hafizam pula mempunyai tiga anak menerusi perkahwinan pertamanya. Wan Mohd. Hafizam pernah menggemparkan seluruh tanah air pada 23 tahun lalu selepas mendermakan sebahagian hatinya kepada Afiq Iqmal yang berusia 14 bulan ketika itu walaupun tiada pertalian darah antara mereka.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: