06 September 2021

TAK TOLAK JIKA BERJODOH - YUSUF BAHRIN AKUI TERTARIK ALUNAN SELAWAT ZIZI



"Mulanya, kami kenal hanya sebagai kawan. Namun, saya dan Zizi ada keserasian dan mula rapat. Kami hanya berhubung menerusi telefon bimbit, mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan berinteraksi dalam laman Instagram. Jujurnya, kami tidak pernah keluar dating, lagipun situasi semasa pandemik membataskan pergerakan.

"Apa yang boleh dikatakan, hubungan kami cukup rapat. Tetapi, saya hanya berserah kepada takdir untuk perjalanan perhubungan ini. Soal jodoh, rahsia Allah. Cuma, saya tidak pernah merancang bila mahu kahwin. Saya sentiasa yakin dengan kuasa Allah, lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri saya. Jika takdir menentukan jodoh dengan Zizi, saya terima dengan hati terbuka," katanya.

"Zizi sangat baik hati dan mengambil berat. Namun, apa yang membuatkan saya tertarik apabila mendengar suara Zizi mengalunkan lagu Selawat Purnama. Merdu dan sangat syahdu," itulah kata pelakon Yusuf Bahrin, 29, yang mengakui, hubungannya dengan penyanyi Zizi Kirana, 36, kian rapat sejak terbabit dalam rakaman program All Together Now Malaysia terbitan Astro pada Mac lalu.

Yusuf berkata, sebagai lelaki keinginan untuk menamatkan zaman bujang pasti ada. Ditanya mengenai peribadi penyanyi lagu 'Eh' itu, jejaka yang sinonim dengan watak Dr Amar menerusi drama 'Sweet Dreams' itu berkata, dia sangat menyenangi sikap dan perwatakan Zizi. Malah katanya, dia 'jatuh hati' dengan alunan selawat Zizi.

Klik untuk gambar besar



Pasangan yang kini dikaitkan sedang menjalinkan hubungan cinta itu tidak menolak andainya takdir menyatukan mereka hingga ke jenjang pelamin.

Kemesraan Yusuf dan Zizi mencuri perhatian ketika tampil dalam Instagram (IG) Live, baru-baru ini. Malah, pelakon yang melonjak nama menerusi drama 'Sweet Dreams' itu secara berseloroh memanggil Zizi dengan gelaran 'sayang' hingga tular dalam aplikasi TikTok.

Begitu juga Zizi meninggalkan komen bertulis Habibi bermaksud 'kesayanganku' dalam bahasa Arab, selain menulis CHK dipercayai bermaksud 'cinta hatiku'.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: