31 October 2021

BOB LOKMAN: "JANTUNG OKEY... CUMA PERGERAKAN TERBATAS, MASALAH PARU-PARU"



"Untuk masalah jantung saya, Alhamdulillah bateri itu okey. Namun, kini saya kena pastikan air dalam badan berkurangan dan tidak boleh berlebihan kerana masalah di paru-paru. Alhamdulillah masalah pernafasan saya semakin baik, tapi tak boleh terlalu aktif buat kerja.

"Saya kena dapatkan rehat yang cukup kerana keadaan kesihatan memang dah tak macam dulu lagi. Perlu dijaga rapi. Namun, saya tak mahu terlalu manjakan diri dengan duduk berehat saja.

"Saya akan pastikan ada membuat pergerakan walaupun sekarang agak terbatas," itulah kata pelakon, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman, 57, mengenai keadaan kesihatannya yang kini beransur sihat dan sudah pun dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah, 23 Oktober lalu selepas lebih dua minggu menerima rawatan lanjut.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman sebelum ini dimasukkan ke Unit Penjagaan Koronari (CCU) hospital itu pada 1 Oktober dan 13 Oktober lalu kerana keadaan kesihatan yang tidak stabil akibat cepat penat dan sukar bernafas.

Klik untuk gambar besar



Penulis lirik lagu 'Isabella' dan 'Taman Rashidah Utama' itu memaklumkan dia akan bertemu semula dengan doktor untuk pemeriksaan, Disember ini. Dalam pada itu, Bob berkata, dia kini dalam tempoh pemulihan dan pernafasan juga semakin baik. Cuma, katanya pergerakan masih terbatas dan perlukan rehat yang cukup termasuk kurangkan air dalam badan.

Menurut Bob, apapun selepas dia melakukan rawatan laser pada jantungnya, 3 Oktober lalu menujukkan keadaan kesihatannya semakin baik. Malah, ujarnya dia kini sudah boleh bernafas dan tidur dengan baik. Ditanya mengenai bengkak di kaki kanannya, Bob berkata ia sudah surut. Katanya keadaan kini baik-baik saja dan terima kasih pada semua yang bersama membantu mendoakan kesembuhannya itu.

Terdahulu, Bob memberitahu dia terpaksa menunda beberapa kali temujanji bersama doktor untuk rawatan susulan jantungnya di hospital kerana kes Covid-19 yang tinggi.

Bob yang sebelum ini mengalami masalah jantung itu selamat menjalani pembedahan membetulkan degupan jantung iaitu 'Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah pada awal Disember, tahun lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: