31 October 2021

NOORKHIRIAH KESAL VIDEO IKLAN LAKONANNYA JADI UMPAN JERAT RAMAI MANGSA PENIPUAN



"Saya berlakon dalam iklan sebuah syarikat latihan dan bimbingan saham. Saya hanya memenuhi permintaan syarikat berkenaan sahaja. Niat mahu mencari rezeki selepas lama tidak bekerja di hadapan kamera. Namun, saya tidak sangka terkait dengan isu penipuan membabitkan aktiviti pengambilan deposit secara haram.

"Mulanya, saya menyangka syarikat latihan dan bimbingan saham berkenaan mengambil kesempatan dan melakukan penipuan, sebalik tidak. Video iklan ini dicuri dan disalah guna sebuah lagi syarikat 'scammer' yang tidak dikenali," dakwa pelakon Noorkhiriah yang kesal video iklan lakonannya dijadikan umpan hingga menjerat ramai mangsa penipuan membabitkan aktiviti pengambilan deposit secara haram.

Enggan terus disalah sangka dan dituduh bersubahat, Noorkhiriah atau nama sebenarnya, Noorkhiriah Ahmad Shapie, menerusi hantaran dalam Instagram (IG) telah menafikan terbabit dalam agenda penipuan yang didakwanya membabitkan sebuah syarikat saham 'scammer', baru-baru ini.

Bintang drama rantaian 'Nur' itu mengeluarkan amaran selepas video iklan lakonannya digunakan tanpa kebenaran pihak tidak bertanggungjawab. Noorkhiriah dimaklumkan, syarikat latihan dan bimbingan saham yang menjadi mangsa sudah mengeluarkan kenyataan menafikan bersekongkol dengan syarikat 'scammer' itu.

Klik untuk gambar besar



"Saya diberitahu, syarikat menawarkan saya peluang berlakon iklan ini tidak pernah mengambil deposit untuk tujuan pelaburan. Syarikat ini ditubuhkan sebagai entiti pendidikan dan pelaburan haruslah dilakukan secara terus ke Bursa Malaysia. Mereka juga menafikan mengenali dan langsung tiada kaitan dengan syarikat 'scammer' itu," katanya.

Pelakon filem 'Susuk' dan 'Papadom' itu berkata, tindakannya memuat naik hantaran dalam IG bersebab, namun, sudah memadamkannya. Noorkhiriah dalam masa sama juga berharap, sesiapa yang mahu membuat pelaburan pergilah ke saluran betul.

"Apabila tersebar video, ramai menghantar mesej langsung bertanyakan kesahihan cerita. Malah, ada yang sudah beberapa kali memasukkan duit kepada syarikat 'scammer' berkenaan. Ada pula sudah memasukkan deposit terakhir berjumlah RM3,000 baru mesej saya kerana mula sangsi apabila melihat hantaran yang dimuat naik.

"Saya hanya mampu bersimpati dengan mangsa penipuan. Saya tidak mampu membantu apa-apa, apatah lagi, mendapatkan semula duit yang dilaburkan. Tiada istilah senang-senang orang nak bagi pulangan duit beribu-ribu dalam tempoh masa yang singkat. Saya harap orang ramai tidak terbabit dengan pelaburan haram kerana kerugian dan kehilangan berlaku adalah atas tanggungjawab sendiri," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: