14 November 2021

BILA GAYA 'KIM K', 'SQUID GAME' JANNA & KEKASIH, 'BUNGA' AINA ABDUL DI ABPBH 34 TARIK PERHATIAN



Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 (ABPBH 34) telah melabuhkan tirainya apabila mengumumkan pelakon Janna Nick sebagai pemenang Bintang Paling Popular dengan 86,374,777 undi.

Namum yang menarik perhatian ramai apabila penampilan unik Janna dan kekasihnya, pelakon Dini Azan Schatzmann pada sesi karpet merah ABPBH 34. Janna muncul dengan busana sekuin rona perak hasil rekaan pereka fesyen, Wanpa manakala Dini tampil dengan sut berona hitam serta topeng bertulis angka enam.

Rata-rata netizen melabelkan pasangan itu sebagai 'Kim K' (Kim Kardashian) dan Squid Game versi Malaysia. Menepati prosedur operasi standard (SOP) untuk mengenakan pelitup mulut, pasangan selebriti romantik itu memilih menutup keseluruhan wajah mereka menggunakan topeng sekuin.

Klik untuk gambar besar



Di Instagram, Janna menulis keterangan ringkas untuk mengiringi video pendek penampilan dirinya dan Dini: "Hanya kerana saya menggayakannya dengan baik, tak bererti ia tidak membebankan," tulisnya yang boleh diinterpretasikan dalam pelbagai aspek dan bukan hanya busana yang dipakainya sahaja.

Sementara itu, seperti biasa fesyen penyanyi Aina Abdul sentiasa akan menarik perhatian. Kali ini, Aina tampil dengan busana serba hitam dengan kepalanya berbentuk bunga mawar.

Aina menjelaskan rekaan pereka Behati itu adalah kesinambungan kepada jalan cerita single baru yang diterbitkannya berjudul Aina Abdul. Menurut Aina, rekaan busana itu adalah simbolik kepada bentuk bunga mawar yang mana turut menjadi simbolik untuk single barunya itu.

"Konsep ini adalah kesinambungan jalan cerita dalam Aina Abdul yang baru sahaja dilancarkan. Inspirasinya adalah daripada mawar merah. Namun, malam ini, saya ingin tampilkan mawar hitam dan ia adalah simbolik daripada fesyen yang saya dah lama nak ketengahkan," katanya.

Ditanya mengenai kritikan di media sosial sejak awal malam tadi, Aina memilih untuk tidak membaca sebarang kritikan dan terus mengikut kata hatinya dalam menata gaya.

"Saya kurang baca kritikan dan sebab itulah saya rasa saya boleh bertahan. Kalau saya baca, saya takkan boleh tahan. Saya buat apa yang hati saya rasa betul dan saya nak setiap penampilan saya ada impak. Tapi, kritikan pun sebenarnya adalah publisiti yang bagus," ujarnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: